Kem Segamat: Untuk pertahanan negara atau manipulasi pilihan raya?


(Dikemaskini )

Pakatan Harapan (HARAPAN) berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan mendapatkan maklumat. Saya sedar hakikat bahawa rahsia negara amat penting terutama dalam hal-hal keselamatan negara.

Walau bagaimanapun, kerahsiaan ini tidak patut dijadikan alasan untuk kepentingan pihak tertentu yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan negara.

Dengan itu, bagi perbelanjaan pertahanan pula saya ingin menyeru supaya istilah “rahsia pertahanan” tidak dijadikan alasan oleh Kementerian Pertahanan untuk mengelakkan diri dari pemantauan dan pengawasan Dewan Rakyat.

Saya minta Kementerian Pertahanan memberi penjelasan sama ada pembinaan Kem Tentera Segamat di negeri Johor dibuat atas pertimbangan strategi pertahanan negara atau semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik dan pilihan raya bagi parti kerajaan.

Untuk makluman dewan yang mulia ini, Kem Segamat masih dalam proses pembinaan dan papan notis di luar tapak pembinaan menunjukkan bahawa tarikh jangka siap bina kem tersebut ialah 16 April 2018.

Walaubagaimanapun, Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2017 yang sedang dipamerkan telah menunjukkan pendaftaran seramai 1,079 anggota tentera atau pasangan mereka di dua lokaliti baru di kawasan Parlimen P140 Segamat N02 Jementah.

Antaranya 1,051 pemilih di Kem Segamat, dan 28 pemilih di Rejimen 501 Askar Wataniah Kem Segamat.

Isu yang timbul sekarang adalah bagaimanakah seseorang anggota tentera dipindahkan untuk bertugas di sesebuah kem tentera yang masih dalam proses pembinaan dan sudah tentu belum mendapat Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan, atau Certificate of Completion and Compliance – CCC dengan izin.

Ini bukan sahaja merupakan sesuatu manipulasi sistem pilihan raya malah juga telah membawa banyak kesulitan kepada anggota tentera yang sebenarnya bertugas di sesuatu kawasan yang lain dan mungkin terletak jauh dari Segamat.

Kerajaan tidak seharusnya menyusahkan anggota tentera sehingga mengheret mereka ke medan pertarungan politik.

Saya juga mencadangkan agar Dewan Rakyat menetapkan sebarang pembelian aset atau sistem pertahanan yang melebihi RM100 juta oleh Kementerian Pertahanan, mesti dibawa ke Parlimen untuk dibahas, dan diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebagai syarat meneruskan pembelian ini.


LIEW CHIN TONG ialah Anggota Parlimen Kluang dan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.




Pengiklanan