Ibu segala bajet atau ibu segala retorik?


(Dikemaskini )

Ternyata pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu gagal memenangi hati rakyat.

Rata-rata komentar netizen melalui media sosial berpendapat bajet yang dibentangkan itu bersifat retorik, apatah lagi dalam konteks pilihan raya.

Kononnya dengan taburan nikmat melalui bajet itu akan menambat hati pengundi. Ternyata telahan BN kali ini silap.

Penjawat awam persekutuan yang sempat saya temui juga bernada sinis berbaur kecewa kerana mereka mengharapkan sekurang-kurangnya kenaikan satu tangga gaji dan pemberian bonus sekurang-kurangnya setengah bulan.

Penjawat awam persekutuan dihambat perasaan cemburu terhadap penjawat awam Selangor kerana ternyata kerajaan pimpinan Datuk Seri Azmin Ali berjaya membuktikan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) lebih prihatin dengan mengembalikan hasil negeri dalam bentuk pelbagai insentif dan imbuhan yang jauh lebih tinggi daripada apa dijanjikan perdana menteri.

Malah salah satu skim baru yang diperkenalkan dalam Bajet 2018 dinamakan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang memberi faedah tabungan RM200 kepada anak yang baru lahir, terang-terangan meniru Inisiatif Peduli Rakyat Negeri Selangor, Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang memperuntukkan sebanyak RM1,500 tabungan kepada setiap anak yang lahir di Negeri Selangor sejak 2008.

Pakatan Rakyat sebaik mengambil alih kerajaan daripada BN pada 2008 memulakan pelbagai inisiatif yang begitu menguntungkan rakyat.

Malah inisiatif yang peduli rakyat ini berterusan sehingga ke hari ini.

Kerajaan BN ternyata baru tersedar daripada mimpi apabila melihat inisiatif ini mampu memberikan impak kepada kesejahteraan rakyat, lalu meniru inisiatif sama ketika pilihan raya hampir tiba.

Ternyata pembentangan yang dianggap "ibu segala bajet" itu gagal memperlihatkan bahawa BN prihatin terhadap nasib rakyat apabila cukai yang begitu menekan - GST - tetap diteruskan.

Ini berbeza dengan pembentangan bajet HARAPAN apabila mereka berikrar untuk memansuhkan GST.

Rakyat lebih celik

Begitu juga dengan pengumuman menamatkan kutipan tol di empat lokasi dilihat tidak lebih sekadar retorik. Tol Batu Tiga misalnya, Pemuda PKR (AMK) sudah membuat desakan supaya ia ditutup sejak 2012 lagi.

BN hanya mengumumkan penutupannya pada 2017 semata-mata untuk memenangi hati rakyat. Namun rakyat tidak sebodoh itu dan melihat usaha picisan ini untuk membeli undi.

Malahan bajet yang dibentangkan HARAPAN pula berjanji akan memansuhkan semua kutipan tol dengan membeli semula syarikat-syarikat konsesi yang ada.

Satu lagi tawaran dalam bajet HARAPAN ialah pendidikan percuma dan membantu peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melangsaikan hutang mereka.

Di samping itu pelaksaan kadar gaji minimum RM1,500 dan skim rumah mampu milik melalui kaedah sewa beli untuk membantu golongan sasar memiliki rumah.

Justeru saya berpendapat ibu segala bajet yang dibentang perdana menteri gagal menyaingi bajet alternatif yang disediakan HARAPAN.

Pelbagai janji ditabur hanya untuk memenangi hati rakyat sempena pilihan raya namun ia ternyata gagal kerana rakyat kini jauh lebih celik dan peka.

Saya menyeru dan merayu seluruh rakyat untuk memberikan peluang kepada HARAPAN mentadbir Malaysia pada pilihan raya akan datang.

Saya juga berkeyakinan bahawa kerajaan HARAPAN akan memacu Malaysia jauh lebih baik dan cemerlang.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah penolong setiausaha Pemuda PKR dan setiausaha Pemuda PKR Selangor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.