malaysiakini logo
story-image
ADS

Bayangkan bulan lepas saya dimasukan ke wad kecemasan (ER) di sebuah hospital di Cheras. Tepatnya pada 1 Okt 2017.

Keadaan saya waktu itu terasa bagaikan nazak kerana hendak bernafas pun rasanya seolah-olah ada bilah pedang merodok ke dalam dada. Punyalah sakit sampai rasa nak mati.

Pada kadar segera saya diberikan ubat cairan berwarna putih untuk meredakan sakit, namun rasa sakit itu tidak mahu pergi. Malah makin meningkat berganda rasanya.

Saya terguling menahan sakit yang bukan kepalang. Doktor bertanya: dari satu hingga 10, berapa tahap sakit yang saya rasa. Saya jawab: 10.

Kemudian doktor memasukan ubat penahan sakit melalui suntikan, tetapi sakit itu masih degil. Ia tidak mahu hilang hinggakan saya semakin menggigil menahan rasa. Saya tidak mampu hendak berkata-kata.

Lalu diberikan lagi ubat tahan sakit yang lebih kuat tahap masuk wad bedah.

Ubat tahan sakit itu membuatkan kewarasan saya tidak berfungsi dengan betul. Saya mula mengucap syahadah. Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya kembali ke rahmatullah.

Saya meminta ampun maaf siap-siap kepada Isteri saya yang juga sangat panik waktu itu.

Kalau sudah itu pengakhiran hidup saya, terpaksalah saya reda. Namun syukur, sakit mulai rasa berkurangan walaupun tidak sepenuhnya hilang. Dalam keadaan tidak berapa betul itu saya dibawa ke bilik x-ray.

Seminggu demi seminggu

Laluan dari ER ke bilik x-ray agak menyeramkan. Saya nampak lampu kalimantang di langit-langit berlalu silih berganti. Saya seperti sedang dalam terowong menuju hujung cahaya.

Saya rasa macam dalam twilight zone.

Alhamdullilah hidup lagi.

Kira-kira waktu subuh doktor ER bertanya tentang sakit saya lagi, dari satu hingga 10 - berapa tahap yang saya rasa. Saya tidak dapat menjawab kerana sedang mamai. Saya sudah nampak unicorn.

Memang walaupun tidak sepenuhnya hilang, sakit sudah mulai berkurangan.

Doktor di ER tulis surat mencadangkan supaya saya berjumpa pakar di klinik surgeri. Katanya, trauma saya teruk sangat dan perlukan perhatian segera.

Kemudian saya dibekalkan ubat - untuk seminggu.

Esoknya saya pun pergi ke klinik surgeri. Saya menjangkakan akan terus mendapat rawatan, terutama mengenangkan perlu menunggu separuh hari di luar klinik. Rupa-rupanya kena buat temu janji lain.

Kata misi di klinik surgeri mereka akan hubungi saya dalam tempoh seminggu untuk mengesahkan tarikh temu janji.

Memang seminggu kemudian saya dapat panggilan dari klinik itu. Katanya temu janji untuk saya berjumpa doktor ialah pada Disember nanti.

Saya mengeluh kerana sakitnya masih ada terasa manakala ubat pula sudah habis. Saya risau nanti saya akan berdepan serangan sakit itu sekali lagi, dan perlu masuk ER semula.

"Kenapa lama sangat nak dapat temu janji?” tanya saya kepada pemanggil itu.

“Orang ramai, prof (doktor yang bertugas) bagi temu janji ini saja, disember nanti," kata misi di hujung talian.

Saya menjelaskan kepada misi itu, ubat untuk saya sudah habis dan kalau serangan sakit itu datang kembali, macam mana keadaan saya.

"Masuk ER semula, boleh dapat ubat," katanya.

"Ubat untuk seminggu?" saya tanya kembali dengan nada tidak puas hati.

"ER hanya boleh beri ubat untuk seminggu saja," balas misi itu.

Saya terbayang bagaimana saya akan perlu berguling-guling lagi di ruang ER jika sakit itu datang semula, dan diberikan ubat - untuk seminggu lagi.

Daftar lagi dan lagi

Tidak masuk akal untuk saya menghabiskan masa berguling- guling menahan sakit di hospital.

Di pejabat saya berbincang dengan ketua jabatan tempat saya bekerja dan dia menyarankan saya berkunjung klinik panel. Saya turutkan dan doktor di situ mencadangkan sebuah klinik pakar.

Apabila saya berkunjung ke klinik pakar yang dimaksudkan, hari itu juga doktor di situ mahu membuat prosedur rawatan. Bukan tiga bulan kemudian.

Dan tentunya saya tidak perlu mengambil risiko berguling-guling menanggung kesakitan di ruang ER.

Keadaan kini menjadi 'aman' dan saya sudah tidak sakit

Baru sekejap tadi, setelah satu setengah bulan selepas masuk ER, saya dapat lagi panggilan dari hospital untuk mengesahkan temu janji dengan doktor.

Suara di hujung talian memberitahu tarikh temu janji saya ialah pada Disember.

Saya memang memang sudah tahu tarikhnya, cuma kenakalan saya tidak boleh dihalang untuk bertanya soalan bocor: bila?

Saya juga bertanya untuk apa temu janji itu dan apakah saya akan dibedah? Suara di hujung talian berkata, doktor akan jumpa dulu dan berbincang.

Dalam hati saya kata: orang dah setengah nyawa menahan sakit, masih mahu berbincang? Namun saya tidak sampai hati untuk luahkan kata-kata yang berkumpul di dada walaupun saya sangat kecewa dengan perkhidmatan hospital berkenaan.

Akhirnya saya pun memberitahu pemanggil itu, saya sudah berjumpa pakar hospital swasta dan sudah pun menerima rawatan.

Sejurus selepas itu saya dapat dengar suara agak gembira di hujung talian. Mungkin dia berasa bebanan yang ditanggung hospital itu untuk merawat begitu ramai orang, berkurangan sedikit.

"Cancel la ya?" katanya mencari kepastian.

Saya mendapat tahu hospital itu bukan sepenuhnya milik kerajaan. Justeru bayarannya agak tinggi berbanding dengan hospital kerajaan.

Pendaftaran saja sudah RM50, ubat pula kena beli walaupun ada yang percuma tetapi boleh diserap dengan kos pendaftaran.

Setiap kali ke hospital, kita perlu mendaftar lagi, dan lagi dan lagi.

Bimbang pendek nyawa

Hospital itu juga bukan bukan pusat perubatan swasta. Maksudnya ia adalah hospital separuh kerajaan dan separuh lagi swasta.

Tidak seperti kita melihat gelas yang separuh penuh atau separuh kosong, hospital itu sangat jelas dalam pembahagian ini.

Perkhidmatannya seperti tanggapan lazim untuk jabatan kerajaan - perlahan dan banyak birokrasi, manakala bayarannya seperti caj hospital swasta yang sangat mahal.

Kita ni agak bengap jugalah mahu mendapatkan perkhidmatan ala kerajaan tetapi bayar dengan bayaran swasta. Masalahnya hospital itu adalah hospital yang paling dekat dengan rumah saya.

Pada waktu kecemasan semua aspek itu tidak diambil kira. Jarak dan waktu paling pantas lebih diutamakan.

Hospital swasta boleh merawat dengan kadar segera kerana bayaran yang dikenakan tinggi. Kita membayar untuk perkhidmatan adalah lumrah.

Hampir tidak ada apa yang percuma di dunia ini, tetapi apabila kita terpaksa membayar untuk khidmat yang perlahan dan tidak memikirkan kesengsaraan pesakit adalah zalim.

Selepas hiruk-pikuk barulah ada rasa nak mengadu. Kalau mengadu semasa sakit, bimbang juga saya jadi ditakdirkan pendek nyawa.


AIRMAS SAMSUL ZAKARIA adalah pembaca Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen