Projek jalan raya cacamarba bazirkan RM39.6 juta?


(Dikemaskini )

Saya mengambil berat tentang perobohan sebahagian Jalan Genting Klang yang baru dinaik taraf bagi membina Lebuh Raya Duke 3.

Pada 2013, kerja-kerja menaik taraf Jalan 1/27A di Jalan Genting Klang hingga ke persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sepanjang 1.5km telah dijalankan dengan kos sebanyak RM39.6 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Projek menaik taraf daripada empat lorong kepada enam lorong ini kononnya bertujuan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu-lintas yang dialami pengguna jalan raya sejak sekian lama.

Dalam tempoh dua tahun kerja pembinaan dijalankan pengguna terpaksa menghadapi kesesakan yang bertambah teruk.

Apabila kerja menaik taraf itu siap ada 2015, pengguna jalan raya menjangkakan penderitaan mereka berakhir. Tetapi mereka terkejut dan amat kecewa apabila jalan ini dirobohkan sekali lagi hanya dua tahun selepas ianya dinaik taraf.

Saya mendapati kerja-kerja pembinaan Duke 3 yang sedang dijalankan di Wangsa Maju dengan laluan sepanjang 29.8km itu dijangka akan siap hanya pada 2020.

Ini bermakna pengguna jalan raya ini harus menderita akibat kesesakan lalu-lintas selama hampir tujuh tahun, iaitu dari 2013 hingga 2020!

Saya telah menerima begitu banyak aduan khususnya daripada penduduk sekitar Wangsa Maju yang mengalami bukan sahaja kesesakan lalu-lintas tetapi juga tentang pembaziran wang rakyat.

Saya menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjawab persoalan-persoalan berikut:

  1. Mengapa perlu dirobohkan jalan yang baru dibina? Bukankah ia satu pembaziran RM39.6 juta wang rakyat?
  2. Kedua-dua projek ini termasuk di dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur. Mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Mengapa tiada penyelarasan antara keduanya?
  3. Setelah sekian lama penduduk Wangsa Maju menghadapi permasalahan ini, sampai bila mereka dapat menikmati kemudahan dan manfaat sepenuhnya kerana pelaksanaan bermacam projek yang tidak berkesudahan?
  4. Di mana akauntabiliti DBKL yang sehingga hari ini masih belum memberi sebarang penjelasan tentang perobohan jalan raya yang baru siap dinaik taraf walaupun banyak aduan tentang isu ini telah disuarakan oleh warga Kuala Lumpur khususnya penduduk Wangsa Maju?

DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW ialah Bendahari Agung PKR.

Rencana ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.