MAHB kena segera selesaikan isu kerosakan aerotrain


(Dikemaskini )

Saya ambil maklum mengenai laporan yang dikeluarkan beberapa media bahawa perkhidmatan keretapi aerotrain yang menghubungkan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dengan bangunan satelit rosak pada petang 4 September lalu.

Berikutan insiden itu, dilaporkan penumpang yang berada di dalamnya terpaksa berjalan kaki di tepi landasan menuju ke terminal utama.

Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) seharusnya tegas dalam menyelesaikan masalah ini kerana berdasarkan laporan itu, ia bukanlah pertama kali berlaku sebaliknya masuk kali kedua dalam tempoh yang sangat singkat iaitu tiga bulan.

Dua tahun sebelum ini juga perkhidmatan tersebut turut mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkan ratusan penumpang terkandas.

Bagi saya kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi pada ketika ini kerana masalah kerosakan dan teknikal sebelum ini seharusnya sudah dapat diatasi oleh MAHB.

Walau bagaimanapun, saya musykil sekiranya terdapat sesuatu yang tidak kena dan saya ingin menggesa MAHB memberi laporan penuh masalah kerosakan perkhidmatan itu kepada Kementerian Pengangkutan supaya masalah sebenar dapat diketahui.

Selain itu, pihak MAHB seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk meneliti kembali perkhidmatan aerotrain ini selepas masalah kerosakan berulang.

Mereka juga perlu memastikan sekiranya kereta api tersebut sudah lama digunakan sehingga lebih 20 tahun, ianya perlu ditukar.

Jika perlu dibaiki sekalipun, lakukanlah penyenggaraan segera kerana itu adalah tanggungjawab MAHB untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang dan memastikan keselamatan penumpang.

Saya juga ingin menegaskan supaya prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan terutama dalam keadaan aerotrain rosak, di mana penumpang tidak sepatutnya berjalan di tepi landasan.

Tindakan penumpang yang mengambil langkah sendiri itu jelas membahayakan nyawa mereka dan kita tidak mahu kejadian tidak diingini terjadi.

Saya juga ingin mencadangkan agar menambah perkhidmatan aerotrain di KLIA bagi mengelak kesesakan dan kerosakan teknikal.

Saya amat berharap agar MAHB mengambil tindakan segera dan memastikan kejadian sama tidak akan berulang lagi di masa hadapan.


DATUK ABDULLAH SANI ABDUL HAMID ialah anggota parlimen Kuala Langat dari PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.