Kita tidak perlukan pendidikan percuma


(Dikemaskini )

Saya masih ingat manifesto Pakatan Rakyat tentang “pendidikan percuma” yang pernah menggegarkan politik tanah air.

Manifesto itu sepertinya sudah terlalu lama ditinggalkan memandangkan Pakatan Rakyat sudah pun menemui ajalnya.

Patah tumbuh, hilang berganti; kematian Pakatan Rakyat melahirkan satu lagi gabungan politik yang bernama Pakatan Harapan, yang berhasrat menumbangkan BN pada PRU14 yang semakin hampir.

Mungkinkah ada sinar harapan untuk “pendidikan percuma” jika Pakatan Harapan ini menang kelak?

Saya berpandangan bukanlah propaganda pendidikan percuma yang diperlukan pada saat ini, tapi satu keutuhan dalam kumpulan pembangkang yang menjadi tuntutan penyokong blok pembangkang.

Selaku penonton teater politik tanah air, saya ingin melihat blok pembangkang membawa “Harapan Baharu”, bukan gusti dan telatah yang hampir serupa dengan pemerintah.

Mengapa gila talak?

Saya hanya mampu tersenyum melihat perbalahan yang sedang berlaku dalam PKR. Pasukan A masih mendambakan kerjasama dengan PAS, manakala blok B berfikiran sebaliknya.

Saya fikir sudah masanya PAS dibiarkan sendiri, melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh kebanyakan tokoh PAS, mereka konsisten menyatakan mampu untuk bergerak secara solo pada PRU14 dan menawan 40 buah kerusi parlimen.

Biarkan mereka dengan cita-cita mereka, mengapa harus dipujuk “orang yang tak sudi”, bukankah PKR sedang berasmara bersama pasangan baharu.

Kita semua sedia maklum; syarat untuk PAS menyertai mana-mana pakatan politik adalah “Islam mesti memimpin”.

Slogan Islam mesti memimpin bagi saya cumalah satu kiasan yang bermaksud PAS harus menjadi pemimpin utama dalam mana-mana pakatan politik, barulah mereka mahu bersama.

Kehadiran DAP sebagai “rakan berdansa” PAS dalam Pakatan Harapan memustahilkan perkahwinan antara mereka berlaku.

Kemudian terbanglah sepucuk surat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara yang merestui rundingan bersama PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru berlaku.

Surat ini menjadi lesen kepada kumpulan A untuk meneruskan agenda mereka. Anwar yang sedang dipenjara mempunyai keterbatasan maklumat, dan ini memungkinkan beliau tidak mendapat maklumat dan gambaran yang tepat tentang situasi politik nasional.

Saya fikir, biarlah Anwar dibiarkan berehat dan menikmati masa-masanya bersama buku dan rakan-rakan baharu di penjara, hibernasikanlah beliau daripada politik nasional sebentar.

Ramai yang tidak bersetuju jika saya katakan PAS akan menjalinkan kerjasama dengan BN menjelang PRU14 nanti.

Mengambil contoh negeri Kelantan, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, pastinya sedikit sebanyak akan menimbulkan kerisauan kepada PAS.

Jika pembahagian kerusi antara calon BN dan PAS dilakukan dengan kemas di Kelantan, saya percaya negeri serambi Mekah itu pasti akan kekal menjadi milik PAS.

Apa-apa pun, semua itu terpulang kepada pimpinan PAS untuk memikirkan strategi mereka, saya berkeyakinan jika mereka bergerak secara solo, berdasarkan prestasi PRU mereka sebelum ini, jumlah 40 kerusi itu kelihatan samar.

Kehadiran BERSATU

Saya tidak gemar akan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pakatan Harapan.

Penerimaan BERSATU dalam keluarga Pakatan Harapan hanya akan menimbulkan lebih banyak “ruang” untuk diserang.

Ketika menjadi perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad banyak memberikan luka kepada pemimpin, aktivis dan penyokong pembangkang, kebanyakan luka itu masih belum sembuh sehingga hari ini.

Kehadiran bekas-bekas pemimpin BN pada parti itu seolah-olah memperlihatkan mereka adalah pasukan BN 2.0, pasukan yang tidak akan memberi banyak perubahan sekiranya berjaya menawan Putrajaya kelak.

Saya juga melihat objektif utama Mahathir semata-mata untuk menjatuhkan perdana menteri kita saat ini, dan saya ragu mereka akan kekal bersama keluarga Pakatan Harapan apabila Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menjadi perdana menteri.

Mahathir adalah pemain politik terbaik di negara ini, sifat “dahaga kuasa” yang ada pada kebanyakan pemimpin pembangkang dipergunakan sebaiknya oleh beliau.

Kini, siapa sangka daripada bekas perdana menteri menjadi pengerusi gabungan parti pembangkang?

Jika dibandingkan dengan PAS yang sudah berpengalaman menghadapi PRU, BERSATU belum boleh menjanjikan apa-apa.

Seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), mereka belum pernah menghadapi PRU, tidak ada prestasi yang boleh diukur, cuma ada ramalan.

Sejauh mana kehadiran BERSATU mempengaruhi undi Melayu (terutamanya pengikut Mahathir) masih lagi menjadi tanda tanya.

Mengapa perlu diberikan Mahathir untuk menerajui pakatan ini?

Kita tidak perlukan pendidikan percuma

Saya berpandangan salah satu ayat yang muncul ketika mesyuarat memuktamadkan perjuangan Pakatan Harapan berbunyi; “kita tidak perlukan pendidikan percuma.”

Lihat sahaja pada perjuangan utama Pakatan Harapan yang langsung tidak menyentuh aspek pendidikan atau mahasiswa.

Saya berpandangan wajar kita meragui keupayaan Pakatan Harapan untuk memerintah negara dengan melihat ketidakseimbangan kuasa yang sedang berlaku dalam gabungan politik tersebut.


RAHMAN IMUDA seorang aktivis mahasiswa.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.