malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
‘Umno begitu terancam hingga sanggup perbodohkan Melayu’
ADS

Saya membaca kenyataan media Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad lewat malam tadi dengan sedikit perasaan marah.

Dengan begitu angkuh sekali beliau menuduh kepimpinan Pakatan Harapan berbangsa Melayu termasuk pucuk pimpinan BERSATU, PKR dan AMANAH sebagai terlalu lemah sehingga boleh dipermainkan oleh DAP.

Apakah Umno begitu terancam dan tergugat kedudukan mereka di hati masyarakat Melayu sehingga sanggup memperbodohkan masyarakat Melayu kononnya parti-parti Melayu di dalam Pakatan Harapan bagai lembu dicucuk hidungnya oleh DAP?

Sedarkah mereka bahawa pujian palsu mereka yang melangit bahawa masyarakat Melayu terlalu cerdik dan tidak akan termakan cakap DAP, adalah sebenarnya suatu penghinaan kepada peradaban dan intelektualisme Melayu dan Islam?

Mereka mengandaikan masyarakat Melayu akan terus menerus menyokong kebatilan pemimpin negara yang sekarang hanya kerana terlalu cerdik untuk diperdayakan oleh DAP.

Saya ingin memetik seorang tokoh agama baru-baru ini yang mengingatkan masyarakat Melayu akan tanggungjawab mereka menilai antara pemimpin yang terbukti batil dan pemimpin yang berkemungkinan bukan Islam.

Seorang adalah terbukti, sementara yang seorang lagi hanya kemungkinan dan tertakluk kepada kuasa Allah.

Sememangnya taktik Umno memomokkan DAP bukan suatu fenomena baru.

Rasanya sudah berulang kali mereka cuba mempermainkan emosi masyarakat Melayu dan memainkan sentimen perkauman kononnya tampuk kepimpinan negara bakal diambil alih oleh DAP sekaligus mengganggu gugat kedudukan istimewa orang Melayu.

Saya di sini ingin menegaskan sekali lagi, hukum matematik tidak membenarkan DAP mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Saya juga ingin menegaskan, perumpamaan yang dibuat Tengku Sariffuddin bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang selain Umno amnya terlalu lemah dan tolol sebenarnya mencerminkan keadaan di dalam Umno itu sendiri.

Ini terbukti dengan sendirinya setiap kali menteri-menteri kabinet Umno membuka mulut.

Jadi perlukah saya meroyan seperti pemimpin-pemimpin Umno?

Saya rasa tuan-tuan dan puan-puan cukup berpengetahuan dan matang untuk menilai sendiri.


TARIQ ISMAIL adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Ketua Bahagian Sri Gading, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen