malaysiakini logo
story-image
ADS

Sudah sampai masanya Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) lebih berani berdepan dengan kedegilan dan keangkuhan Myanmar mengenai isu kemanusiaan membabitkan etnik Rohingnya yang dilihat serius akhir-akhir ini.

Beribu-ribu penduduk etnik Rohingnya terpaksa melarikan diri ke negara jiran Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan daripada kekejaman dan penindasan berterusan kerajaan mereka sendiri.

Malah ramai juga yang lari hingga ke Malaysia.

Tragedi kemanusiaan ini bukan baru, malah berlarutan buat sekian lama. Beribu-ribu penduduk Rohingnya menjadi mangsa.

Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, etnik Rohingnya dikatakan etnik paling teruk ditindas dalam dunia.

Pelbagai usaha telah pun diambil, termasuk oleh kerajaan Malaysia, Asean, Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Namun usaha bertahun-tahun itu ibarat mencurah air di daun keladi. Kerajaan Myanmar terus tidak ambil peduli.

Oleh yang demikian, negara-negara Asean tidak boleh hanya duduk diam dan tidak buat apa-apa mengenai perkara ini.

Cara diplomasi serta perbincangan tidak dipandang serius oleh Myanmar.

Oleh itu, negara-negara Asean perlu mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara ini serta mengeluarkan kenyataan jelas dan keras bagi memberi amaran terakhir kepada Myanmar untuk menghentikan segala kekejaman mereka.

Sekiranya Myanmar masih gagal memenuhi tuntutan berkenaan, keanggotaan mereka dalam Asean harus digantung serta-merta dan ditarik balik.

Asean tidak perlukan anggota negara yang tidak reti mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen