malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya mengalu-alukan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor terhadap sebuah kilang memproses getah beku di pekan Buloh Kasap, Segamat Johor.

JAS memberi tempoh 30 hari yang akan berakhir pada 24 September ini, berikutan masalah bau busuk yang disebabkan oleh kilang berkenaan.

Sudah terlalu banyak aduan dibuat menerusi ahli-ahli majlis yang dilantik oleh Umno-BN dan sehingga kini masalah rakyat ini tidak diselesaikan.

Sudahkah satu mesyuarat pasukan petugas antara JAS, pemilik kilang dan pemimpin setempat diadakan bagi menyelesaikan permasalahan ini?

Bertambah parah apabila kedai telah digunakan sebagai gudang atau pusat pengumpulan getah, di mana deretan kedai berkenaan turut menempatkan kedai makan.

Keadaan akan bertambah serius kerana masalah bau busuk ini akan menimbulkan keresahan penduduk setempat sehingga menjejaskan rutin harian mereka yang datang dari kilang getah yang terletak berhampiran dengan Sungai Buloh Kasap.

Saya juga ingin bertanyakan kepada pihak JAS dan Majlis Daerah Segamat untuk meneliti sedalam-dalamnya dengan mengenalpasti kawasan yang lebih sesuai bagi tujuan itu.

Sebelum ini, Datuk Seri S Subramaniam selaku menteri kesihatan dan juga anggota parlimen Segamat sudah berjanji untuk mengambil tindakan berkenaan perkara ini tetapi sehingga kini penduduk setempat masih merana.

Saya mohon beliau tampil memberikan penjelasan segara.

Adakah janji Subramaniam tidak boleh dipercayai? Ataupun tiada kata akhir dapat dicapai sehingga kesihatan penduduk Buloh Kasap terus diancam?

Saya berharap agar isu yang sudah membelenggu sekian lama ini dapat diatasi segera dan status kilang getah ini perlu dimaklumkan kepada orang awam kerana mereka mempunyai hak untuk mengetahuinya.

Saya turut mengalu-alukan kehadiran Yang Di Pertua (YDP) Majlis Daerah Segamat untuk turun ke pekan Buloh Kasap bagi mengetahui perkara yang sebenar.


DATUK SERI DR R SANTHARA KUMAR penyelaras PKR Segamat merangkap pengerusi biro integrasi nasional.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen