Pelaksanaan e-polling adalah jenaka bagi Malaysia


(Dikemaskini )

Saya mengikuti perkembangan semasa mengenai cadangan perlaksanaan sistem pengundian atas talian (e-polling), seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi Institut Kajian Antarabangsa Strategik (ISIS), Tan Sri Rastam Isa semasa Persidangan Serantau Mengenai Demokrasi di Asia Tenggara pada 3 September lalu.

Cadangan ini disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan atas dasar tiga perkara.

Pertama, kaedah 'e-voting' dilengkapi dengan ciri keselamatan teknologi biometrik seperti imbasan anak mata dan cap jari, dengan alasan bahawa kononnya tidak akan timbul pertikaian mengenai identiti pengundi.

Kedua, beliau menyatakan bahawa sudah banyak negara yang sudah bertukar kepada 'e-voting' dan kini Thailand mahu melaksanakannya.

Ketiga, kaedah ini akan menjimatkan masa dan tenaga memandangkan pengundian boleh dilakukan di rumah atau pejabat.

Menganalisis kepada ketiga-tiga alasan ini, saya mendapati bahawa kaedah 'e-voting' akan menimbulkan pelbagai masalah baru. Antaranya adalah identiti pengundi akan terbongkar apabila mereka mendaftar ID di atas talian sebelum membuat pengundian.

Ini bermaksud apabila seseorang mendaftar undi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau pengurusan talian akan mengetahui calon dan parti manakah yang akan diundi.

Bukankah cara ini akan memberi tekanan kepada sesetengah kelompok pengundi, terutamanya kakitangan kerajaan. Sekiranya mereka berasa takut untuk mengundi selain parti kerajaan (meskipun identiti dirahsiakan), bagaimana pula jika kaedah 'e-voting' dilaksanakan?

Ulasan menteri yang menyatakan terdapat beberapa negara telah melaksanakan kaedah 'e-voting'. Persoalannya, beliau tidak menyebut satu nama pun negara yang melaksanakan kaedah pengundian di atas talian yang menggunakan peranti peribadi (seperti laptop pengundi).

Apa yang saya faham, kebanyakan negara yang melaksanakan kaedah ini akan menggunakan mesin khas yang ditempatkan di pos-pos pengundian, di mana memerlukan pengundi untuk hadir ke tempat mengundi dan bukannya berada di rumah atau pejabat.

Jika adapun negara yang menggunakan pengundian atas talian (internet) seperti negara Estonia, ia adalah perkara yang sukar dilakukan di Malaysia memandangkan talian internet negara yang lembap dan tidak meliputi sesetengah kawasan luar bandar.

Bahkan, sistem 'e-voting' mendapat kritikan daripada segi keselamatan data dan juga penggodaman data (memanipulasi angka undi). Anda boleh merujuk kepada kertas-kertas kajian dan journal antarabangsa mengenai isu 'e-voting' ini.

Lebih malang lagi, majoriti rakyat Malaysia tidak merasakan sistem pilihan raya di negara ini telus dan sistematik. Isu-isu pengundi tidak beralamat, pengundi yang meninggal dunia masih dalam senarai dan turut mengundi, 'gerrymandering' serta pengundi yang bertindih tempat pengundian masih menghantui sistem pilihan raya kita.

Lihat sahaja kes di Hutan Melintang, sehingga sekarang masih tidak dapat dijawab boleh pihak SPR mengenai kewujudan pengundi hantu.

Daripada sibuk bercerita mengenai sistem 'e-polling' yang memerlukan persediaan yang lebih mencabar, lebih baik Menteri dan SPR untuk membetulkan dahulu sistem pilihan raya yang dilihat sebagai masalah besar.

Bagaimana rakyat hendak percaya kepada 'e-voting', sedangkan sistem manual sekarang pun tidak dapat diperbetulkan sejak berdekad-dekad lamanya?


KESAVAN SUBRAMANIAM adalah ADUN Hutan Melintang mewakil PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.