Coretan puisi erti merdeka


(Dikemaskini )

CORETAN PUISI ERTI MERDEKA

Apa guna bangsaku merdeka?
Jika khayal dibuai mimpi sahaya
Jika dirasuk nafsu kebendaan
Jika minda dibonsai, mulut dibungkam
Jika kebebasan sekadar tutur di bibir

Apa guna bangsaku merdeka?
Jika bangsaku dicarik-carik kerana ras
Jika bangsaku dirobek-robek demi agama
Jika bangsaku ikut telunjuk tuan baru
Sir bersongkok tinggi, berkopiah putih

Apa guna bangsaku merdeka?
Jika pembesar mencengkam segala
Berhala baru yang disembah
Yang dipuja kasta pendeta
Yang dijaga hulubalang penguasa

Apa guna kita merdeka?
Jika kitab tubuh tanah ini hanyir dek kencing mereka

Apa guna bangsaku merdeka?
Jika menjadi bangsa yang diam tidak melawan

Lawanlah, bangsaku!
Lawanlah yang bobrok, yang batil, yang jahat
Lawanlah sang koruptor, sang dewa, sang autokrat
Lawanlah petualang, perosak, pemusnah dan penzalim
Lawanlah demi suatu kemerdekaan

Atau hakikatnya, bangsaku belum merdeka?

Syahredzan Johan


Puisi ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.