malaysiakini logo
story-image
ADS

60 TAHUN KEMUDIAN

Dari buku teks
visual hitam putih
laungan kemerdekaan
Tanah Melayu
terus diulang-ulang
menghiasi perjalanan
enam dekad kehidupan
dari pembangunan
dan pelbagai slogan
Malaysia Boleh
Hadhari
Wasatiyyah
1Malaysia
Negaraku Sehati Sejiwa
di samping terkenal seantero dunia
sebagai negara kleptokrat.

 

Di himpunan jutaan pendatang asing
memenuhi ruang tanahair
aku masih Melayu marhaen
pasca Dasar Ekonomi Baru
berstatus bumiputera
yang semakin terhimpit
walau gah sekali retorik
berulang propaganda di media perdana
GDP, ekonomi, pelaburan
katanya beratus bilion
sedangkan pengangguran
tekanan inflasi
kenaikan harga barang
nilai RM merudum
semuanya membayar GST
menjadikan suasana
suram, melankolik, pudar
sureal di balik kerlipan
percikan bunga api
meraikan 145 pingat emas
kemenangan jaguh kampung
di malam merdeka.

 

Anak-anak millennial
siswazah yang berhutang PTPTN
sebaik menerima ijazah
masih terkuntang kanting
sedangkan para kroni
Jho Low dan Riza Aziz
berpesta dengan bilion ringgit
derma dari 1MDB
yang keluar masuk dana
dari akaun ke akaun
akhirnya ke kantung perompak
yang terus disanjung-sanjung
dengan segala penghormatan.

Enam dekad kemudian
kekayaan negara entah di mana perginya
kemiskinan menjadi status
untuk 7 juta penerima BR1M
dalam kita menjadi lebih Islami
masjid indah besar di mana-mana
perbankan Islam, universiti Islam
tahfiz dan sekolah Islam
tetapi semakin korup
semakin rasis
semakin percaya tahyul
terus beriman dengan ketuanan
tak hilang Melayu di dunia
minda semakin kebelakang
di bawah tempurung kebangsaan
walau raja dan perdana menteri
pemeritahan negara
masih dikuasai
parti keturunan yang
bobrok dan busuk
di balik segala yang plastik
kosmetik di bawah hiasan hipokrasi
perjuangan perut buncit
para politikus bangsat

Fudzail
31.8.2017

Lihat Komen