malaysiakini logo
story-image
ADS

BERSIH 2.0 kecewa dengan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memberi maklumat asas kepada pengundi dan pihak-pihak berkepentingan mengenai prosedur pengundian luar negara.

SPR masih tidak memberi sebarang petunjuk mengenai proses pengundian luar negara pada pada PRU ke-14 yang akan datang.

Hal ini telah menyebabkan pelbagai kekeliruan, bukan sahaja dalam kalangan pengundi di luar negara, tetapi juga bagi mereka yang bekerja di kedutaan dan konsulat Malaysia.

Selepas banyak cubaan untuk meminta penjelasan daripada SPR, BERSIH 2.0 telah mendapat tahu tentang sepucuk e-mel di mana SPR telah mengesahkan bahawa rakyat Malaysia di luar negara akan dapat mengundi sebagai pengundi pos dalam PRU14.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 dan pilihan raya kecil baru-baru ini, kemudahan mengundi di kedutaan tidak disediakan dan pengundi terpaksa menghantar kertas undi mereka kembali ke Malaysia sendiri.

Bagi PRN Sarawak, BERSIH 2.0 telah melaporkan bahawa pengundian di luar negara tidak dilaksanakan dengan baik dan pengundi tidak dapat membuang undi mereka. Khususnya:

1. Tempoh yang sangat pendek untuk permohonan menjadi pengundi pos.

2. Kertas undi tiba di rumah pengundi hanya dua hari sebelum hari mengundi dan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengirim balik ke Malaysia.

3. Tiada peluang untuk pemerhatian parti atau bebas ketika pengeluaran dan penerimaan kertas undi pos.

BERSIH 2.0 menggesa supaya SPR menjelaskan secara terbuka tentang proses pengundian di luar negara yang akan dilaksanakan. Pejabat BERSIH 2.0 sering menerima pertanyaan daripada pengundi yang keliru akibat diberi pelbagai maklumat yang bercanggah tentang bagaimana mereka boleh mengundi di luar negara. Sebarang perubahan daripada proses dalam PRU13 perlulah memudahkan pengundian dan meningkatkan keselamatan serta ketelusan proses tersebut.

Kami turut menuntut SPR untuk melaksanakan cadangan BERSIH 2.0 tentang pengundian secara tidak hadir yang dikemukakan kepada SPR pada 16 Mei lalu.

Proses yang dicadangkan akan meluaskan akses kepada pengundian secara tidak hadir dan memastikan ketelusan dan keselamatan proses.

Ia termasuk menyediakan pusat mengundi di luar negara yang ditetapkan (seperti kedutaan dan konsulat) untuk pengundian awal, yakni satu hari sebelum hari mengundi nasional dan pengiraan undi di pusat-pusat mengundi untuk mengelakkan kemungkinan penipuan ketika penyimpanan dan pengangkutan undi.

Pembaharuan sedemikian boleh dilakukan melalui pemindaan peraturan-peraturan yang mudah dan merupakan salah satu langkah untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap SPR.


Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen