Tubuh RCI siasat kehilangan pesawat MH370


(Dikemaskini )

Saya ingin menyarankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat insiden kehilangan pesawat MH370 yang meragut 239 nyawa.

Memandangkan Ahmad Zahid seorang tokoh pemimpin yang amat prihatin serta mudah untuk mempertimbangkan bagi penubuhan siasatan diraja (RCI) maka Deklarasi Rakyat juga ingin mencadangkan penubuhan RCI bagi menyiasat insiden MH370.

Kita jangan sama sekali memandang remeh terhadap insiden MH370 kerana peristiwa hitam yang meyayat hati ini telah meragut 239 nyawa pada bulan Mac 2014.

Malahan kehilangan bangkai pesawat ini tanpa sebarang kesan juga amat misteri sekali bukan saja pada rakyat Malaysia tetapi juga warga luar.

Seluruh dunia merasa pelik dengan berita malang ini yang tidak mempunyai sebarang kesan langsung mengenai kehilangan bangkai pesawat tersebut.

Mangsa-mangsa yang terkorban bukan saja dari negara kita tetapi dari beberapa negara luar khususnya rakyat China.

Pada hemat peribadi saya seandainya 14 nyawa terkorban pada peristiwa Memali pada tahun 1985 kini pada tahun 2014 insiden MH370 telah mengorbankan seramai 239 nyawa secara agak misteri!

Bolehkah Ahmad Zahid mencadangkan kepada kerajaan alaysia untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kes MH370 ini yang mana para waris mereka senantiasa menunggu berita kebenaran untuk kepastian apa yang sebenarnya berlaku!

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana kita mempunyai seorang timbalan perdana menteri yang amat prihatin dan mudah mempertimbangkan bagi menubuhkan RCI ke arah menyiasat mana-mana insiden di tanahair yang tercinta ini.


DATUK SERI KHAIRUDDIN ABU HASSAN adalah Koordinator, Deklarasi Rakyat.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.