Segera tubuh RCI siasat Felda, FGV


(Dikemaskini )

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) amat kesal dan kecewa dengan pendirian kerajaan yang enggan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat kehilangan berbilion wang Felda dan FGV.

Ia dinyatakan dalam jawapan bertulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, terhadap soalan bertulis Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di Dewan Rakyat.

Di ketika berbagai skandal dalam Felda dan FGV terbongkar, kerugian besar FGV, rezab Felda yang sudah habis dan terkini tangkapan demi tangkapan dibuat SPRM atas dakwaan penyelewengan pembelian hotel di London dan Kuching; kerajaan memberi alasan tiada keperluan menubuhkan RCI?

ANAK tidak tahu sejauh mana susulan di buat terhadap Laporan Jabatan Audit Negara mengenai Felda tahun lalu yang mendedahkan kerugian ratusan juta duit Felda.

Begitu juga dakwaan penyelewengan pembelian ladang sawit di Samarahan seluas 20,000 hektar dengan nilai RM1.2 bilion.

Bahkan, ANAK difahamkan 12 pelaburan FIC bernilai bilion ringgit, mempunyai elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Jika mahu disenaraikan, deretan projek dan pelaburan yang bermasalah, gagal dan terbengkalai di Felda, FGV dan anak anak syarikat.

Adakah ia belum cukup bukti dan sangat mendesaknya RCI di tubuhkan?

Atau, kerajaan mahu melindungi kegagalan mereka dalam menjaga kepentingan institusi rakyat seperti Felda, apatah lagi ia membabitkan pemimpin utama negara?

Umum mengetahui idea menubuhkan FGV datangnya dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membentangkannya di Parlimen semasa bajet tahun 2011.

Ia disusuli perlantikan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda dan dianggap 'budak suruhan' bagi mempastikan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia berjaya disempurnakan pada 28 Jun 2012.

AdakahkKerajaan takut jika RCI ini ditubuh, maka terdedah segala penyelewengan dan kebobrokan yang mengaitkan Najib dan Isa?

ANAK sekali lagi mempertegaskan pendirian bahawa RCI sangat wajar ditubuhkan dan mesti disegerakan demi kepentingan 112,635 orang peneroka di seluruh negara.

Jika kerajaan memperakukan penubuhan RCI mengenai skandal matawang/forex yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun lalu, mengapa tidak isu Felda & FGV yang sedang berlaku di depan mata?


MAZLAN ALIMAN adalah Presiden ANAK.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.