Pesara tentera tuntut k’jaan tunaikan janji


(Dikemaskini )

Selepas peneroka Felda menerima 'gula-gula' seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kini pesara tentera pula mendapat 'habuan' yang lebih kurang sama kononnya untuk membantu pesara tentera tidak berpencen dan kategori B40.

Sebanyak lima intensif yang diberikan kepada tentera.

Bantuan Bakti Negara (BBN) iaitu bantuan tahunan berjumlah RM1,200 kepada pesara tidak berpencen.

Skim Anuiti Veteran (SAVe) bagi tentera yang masih berkhidmat tetapi berhasrat untuk bersara awal, penyelarasan pencen hilang upaya kepada pesara dan bekas askar wataniah yang berkhidmat kurang 10 tahun kerana cedera ketika berkhidmat dan tidak mendapat pencen perkhidmatan.

Insentif Veteran Kelainan Upaya Tabung Pahlawan sebanyak RM1,000 setahun kepada pesara yang mengalami kelainan upaya selepas bersara dan penambahan kuota jemaah haji khas kepada pesara daripada 100 kepada 400 orang setahun.

1. Bagi saya, dalam trend ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup yang menekan rakyat keseluruhannya, ini menunjukkan kerajaan Umno BN cuba menabur 'gula-gula' kepada pesara tentera seperti yang dibuat kepada peneroka Felda.

Golongan ini terhimpit dengan suasana tersebut, maka ini masanya kerajaan Umno BN memainkan peranan mereka untuk mendapat sokongan pengundi semata-mata untuk pilihan raya akan datang. Ini bukan pertama kali berlaku, PRU sebelum ini pun perkara sama turut dijanjikan.

2. Kerajaan kena ingat bahawa semua insentif yang disebutkan itu sebenarnya sudah termeterai antara kerajaan dan anggota tentera sewaktu mengangkat sumpah jawatan. Walaupun janji-janji manis ini tidak ditulis secara khas kepada mereka.

Setiap kali menjelang pilihan raya janji-janji ini ditaburkan kepada anggota tentera tetapi tidak ditunaikan. Persoalannya, adakah janji-janji manis kali ini akan ditunaikan kerajaan selepas beribu janji telah ditaburkan kepada tentera?

Anggota tentera tidak mengharapkan janji-janji manis, yang mereka tuntut dan mahu kerajaan buat adalah laksanakan insentif yang diberikan, bukan cakap-cakap sahaja, tunaikan apa yang telah dijanjikan. Anggota tentera bukan boneka kerajaan Umno BN.

3. Kebajikan anggota tentera perlu dipenuhi oleh kerajaan Umno BN melalui pencen, saya lihat bagaimana kerajaan mengkhianati janji sebelum-sebelum ini. Contoh pada 2016, isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menyelesaikan isu kelewatan bayaran pampasan pencen kepada pesara tentera. Bantuan untuk pesara tentera kali ini katanya adalah lanjutan usaha kerajaan membantu pesara tentera selama ini, terutama dalam menghadapi ekonomi tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup.

Tetapi kita lihat bagaimana kehidupan pesara tentera hari ini, mereka dibayar pencen yang tidak setimpal dengan keadaan ekonomi ketika ini. Apa yang dituntut veteran selama ini termasuk kadar pencen dan hak-hak yang lain tidak dipedulikan kerajaan.

4. Sejumlah 288,952 pesara tentera dengan 59 peratus (179,581) daripadanya tidak menerima pencen. Mereka harus dibantu bukan dengan pelbagai imbuhan kerajaan Umno BN berii dan bermacam-macam janji diberi dan akhirnya 'ghaib' entah ke mana.

5. Pakatan Harapan sentiasa mengambil berat terhadap nasib bekas ATM kerana segala sumbangan mereka di dalam perkhidmatan sentiasa dihargai.

Oleh sebab itu, saya mahu rakyat sedar bahawa dedak demi dedak yang diberikan kerajaan Umno BN tidak akan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat, baik peneroka, baik tentera atau rakyat biasa.


Laksamana Pertama (B) YB Mohamad Imran Abd Hamid adalah Ahli Parlimen Lumut dan Naib Pengerusi PKR Perak.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.