malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya mengambil maklum mengenai masalah bekalan air yang konsisten membelenggu di lebih 1,000 rumah termasuk premis perniagaan di tiga kawasan dalam bandar raya Johor Bahru sejak sebulan yang lalu yang didakwa akibat daripada pencemaran ammonia sejak 23 Julai lalu.

Keadaan ini jelas telah mencetuskan kemarahan kepada penduduk dan peniaga yang terjejas. Masalah ini telah menyebabkan kerugian buat peniaga di kawasan Kim Teng Park, Lumba Kuda dan Jalan Indahputra.

Walaupun terdapat lori tangki dibekalkan namun ianya sukar bagi warga emas yang tidak berdaya untuk mengangkat tong mengisi air itu, malah bagi mereka yang bekerja ia akan menganggu urusan harian mereka.

Jika setakat sehari atau dua hari mungkin mereka boleh bertahan namun kini dikatakan sudah lebih sebulan masalah ini tidak diselesaikan oleh pihak berwajib.

Bagaimana mereka mahu makan, minum dan membasuh pakaian dalam keadaan ketiadaan air?

Saya lihat pihak yang bertanggungjawab seolah-olah seperti tidak ambil peduli tentang permasalahan ini apabila penduduk mendakwa berpuluh-puluh aduan telah dibuat.

Saya dimaklumkan juga ini bukan pertama kali berlaku sebaliknya mereka telah lalui situasi seperti ini sejak tahun 2016 lagi.

Apa yang lebih mengecewakan di Johor, caj tarif air merupakan yang tertinggi di negara ini dan turut terdapat caj deposit tambahan yang dikenakan ke atas pengguna. Sepatutnya pihak berkenaan memberikan perkhidmatan yang setimpal kepada rakyat.

Ini menimbulkan persoalan kemana wang yang dikutip daripada rakyat ini sehingga tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang berlaku?

Sepatutnya pihak bertanggungjawab telah menyediakan cadangan terbaik untuk menangani isu pencemaran air terutamanya di kawasan yang selalu menghadapi masalah itu.

Jesteru, saya menggesa Jabatan Bekalan Air Johor menyelesaikan permasalahan air ini dengan kadar segera. Jelaskan kepada penduduk apa masalah yang berlaku? Saya bimbang, jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia akan menjejaskan banyak perkara.


AKMAL NASIR adalah Penyelaras Parlimen PKR Johor Bahru dan Pengarah Strategi AMK.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen