malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya mengambil maklum ketegasan yang disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron yang mengenakan hukuman ke atas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ sendiri bersabit kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah atas ketegasan JPJ yang mendenda semua orang tanpa mengira pangkat dan kedudukan, juga tanpa sebarang pengecualian.

Tindakan sedemikian sememangnya boleh dijadikan pengajaran dan kesedaran kepada pengguna biasa jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan.

Kita sentiasa berharap agar pegawai-pegawai JPJ dijadikan sebagai suri tauladan kepada rakyat agar perbuatan yang melanggar undang-undang tidak ditiru dan dijadikan amalan oleh pengguna lain.

Pada masa sama, saya tetap berasa kesal atas sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang masih menggunakan lorong kecemasan sehingga menggugat fungsi utama lorong tersebut.

Bagi kesalahan pihak yang menggunakan lorong kecemasan, mereka boleh dihadapakan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

Adakah penyalahgunaan lorong kecemasan wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi?

Pada 10 Ogos 2016, JPJ telah melancarkan penubuhan pasukan Kadet JPJ Malaysia membabitkan 221 buah sekolah di seluruh negara bagi menyampaikan pendidikan keselamatan jalan raya kepada pelajar.

Jika JPJ sendiri tidak mengamalkan peraturan jalan raya dengan betul, bagaimana pelajar-pelajar ini hendak mempratikkannya?

Saya berharap JPJ dapat mempertingkatkan penguatkuasaan tanpa memilih bulu, dan pengguna jalan raya yang lain dijadikan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.


KESAVAN SUBRAMANIAM ialah anggota Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, Perak, dari PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen