'Nak, nampak tak kunci kereta ayah?'


(Dikemaskini )

Penulisan ini bukanlah bertujuan menidakkan segala jenis sumbangan yang ditaburkan. Malah ia hanyalah sekadar pertanyaan manja.

Ibarat seorang ayah yang bertanya kepada anaknya:

“Nak, kau nampak tak kunci kereta Ayah?”

Kita dikejutkan dengan kes melibatkan skandal penipuan yang berskala besar, melibatkan beribu buah kereta milik orang ramai yang ditipu oleh pengusaha kereta terpakai.

Rentetan peristiwa itu, maka Naib Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi bertindak spontan dengan mengambil keputusan untuk berhadapan dengan beberapa orang yang dipercayai terlibat dengan skandal penipuan tersebut demi untuk menuntut kembali jumlah kereta yang telah ditipu.

Tambahan pula dengan media sosial yang ada pada hari ini memberikan perhatian yang meluas terhadap Saudara Yusuf Azmi dan ini sedikit sebanyak memberikan sinar harapan bahawa masih ada insan yang sanggup menggalas tanggungjawab sosial yang sepatutnya digalas oleh pihak yang diberikan amanah.

Persoalan kritikal yang ingin ditimbulkan, mengapa naib presiden PPIM sendiri yang menjuarai isu tersebut?

Kenapa bukan institusi yang diberikan amanah dan tanggungjawab dan malah mempunyai “legal authority” untuk menjuarai isu ini terlebih dahulu?

Kes yang diperjuangkan oleh Saudara Yusuf Azmi adalah salah satu dari ribuan lagi. Terlalu banyak jikalau hendak dikemukakan. Persoalan ini mungkin sedikit sebanyak berkait rapat dengan “modal sosial” di Malaysia.

Kontekstualisasi modal sosial

Sebelum itu, perlu ditakrifkan terlebih dahulu bahawa apakah itu “modal sosial”. Seorang ahli sosiologi Barat James Coleman merujuk modal sosial sebagai “kemampuan orang ramai untuk bekerja secara bersama dalam sesebuah kumpulan”.

Takrifan ini jikalau diambil secara pukal oleh orang awam yang bukan berlatarbelakangkan disiplin sains sosial mungkin agak berat untuk dicerna, terutama sekali apabila ia melibatkan agenda pembangunan politik di kawasan setempat.

Oleh itu, Francis Fukuyama, seorang saintis politik Barat, cuba untuk mencakupi takrifan modal sosial itu dengan berhujah bahawa “modal sosial itu bertindak sebagai sokongan kritikal terhadap demokrasi. Modal sosial itu juga sangat kritikal bagi kejayaan sesebuah demokrasi itu”.

Takrifan ini secara tidak langsung merujuk kepada perhubungan dua hala iaitu antara orang awam dan juga institusi yang diberikan amanah untuk menjaga segala kepentingan orang ramai.

Dalam erti kata lain, modal sosial itu adalah satu bentuk simbolik iaitu “kepercayaan” terhadap sesebuah institusi itu. Sejauh manakah ia?

Prospek keberfungsian institusi

Malang sekali sejak kebelakangan ini kita sering diperdengarkan berkaitan integriti penjawat kerajaan ataupun bukan kerajaan dipersoalkan secara meluas oleh orang ramai.

Isu ketirisan yang semakin membimbangkan yang melanda negara kita yang disebabkan oleh sesetengah pihak menyebabkan nilai-nilai modal sosial dalam masyarakat kita semakin terhakis.

Dari Felda hingga ke 1MDB, dan dari penjawat awam yang berperingkat rendah hinggalah ke peringkat yang tertinggi, kesemuanya memberikan takrifan baru terhadap tahap modal sosial di negara ini.

Perkara ini sudah tentulah akan memberikan satu natijah yang sangat negatif dalam arus pembangunan yang diidamkan dalam apa jua aspek.

Bukan itu sahaja, malah baru baru ini kita dikejutkan dengan sebuah artikel yang bertajuk “Apa Sudah Jadi Padamu Malaysia?” yang dinukilkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Sehingga tahap begitu sekali kerisauan yang diutarakan oleh Baginda TMJ terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita yang melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.

Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Baginda TMJ tetapi itulah dia realiti di dalam arus pembangunan politik semasa di Malaysia ini apabila kebenaran itu seringkali disembunyikan dan amatlah susah untuk digapai kerana harganya adalah sangat mahal.

Hujah yang cuba dibangkitkan oleh Baginda TMJ itu perlulah diberikan perhatian yang sangat dalam dan serius.

Tetapi apakan daya, hanyalah sekadar suara kecil yang mewakili kepentingan orang ramai.

Seorang ahli falsafah Islam, Al-Farabi pernah berhujah bawah politik itu datang dan ditemani sekali dengan etika (akhlak) dan dengan itu, barulah kebahagiaan itu dapat direalisasikan.

Tetapi sayang sekali, dalam konteks kenegaraan pada hari, pembawakan politik itu adalah amat asing sekali dan tidak berpakej.

Akibat ketidakseimbangan ekonomi yang sangat ketara, dihimpit pula dengan segala jenis kenaikan yang memberikan impak secara langsung terhadap orang ramai, kepelbagaian jenis cukai yang diperkenalkan, golongan intelektual yang tidak berperangai intelektual, pekerjaan yang tidak setimpal dengan kelulusan, gejala rasuah yang tidak terkawal, isu-isu sosial yang sangat meluas dan sebagainya.

Maka tidak hairanlah jikalau modal sosial itu semakin terhakis dan orang ramai menjadi muak dan memilih untuk berdiam diri dan menterjemahkan perasaan ketidakpuasan hati terhadap sesebuah institusi itu apabila tiba hari membuang undi yang dijadualkan.

Akhir kata, adakah disebabkan ketirisan modal sosial terhadap institusi yang dipertanggungjawabkan ini akan melahirkan ramai orang seperti Saudara Yusuf Azmi dari PPIM dan Baginda TMJ dari kalangan kerabat diraja?

Tepuk dada, tanya selera. Semoga Allah pelihara negara Malaysia yang tercinta ini.


ARIFF AIZUDDIN AZLAN adalah seorang calon doktor falsafah (PhD) di salah sebuah institusi awam negara ini.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share