malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengalaman pembangkang mengharungi beberapa siri pilihan raya umum (PRU) menjadi pengajaran bermakna. Pengalaman ini membuka ruang kepada pembangkang untuk mengatur strategi yang kukuh dalam sistem demokrasi di negara ini bagi menghadapi pilihan raya seterusnya.

Kini, rakyat semakin hari melihat kerosakan Umno-BN yang terpalit dengan unsur-unsur negatif seperti penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan pengenalan pelbagai polisi yang membebankan rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Situasi ini memberi hikmah bahawa permuafakatan antara rakyat dan Pakatan Harapan semakin direalisasikan bagi memastikan Umn-BN kecundang pada PRU ke-14.

Terdapat persoalan yang hadir di minda rakyat yang mahukan perubahan, yakni bagaimana Pakatan Harapan dapat meyakinkan penduduk luar bandar yang acapkali menyumbang kerusi kepada BN untuk terus memerintah negara.

Bahkan di sesetengah lokasi ‘kubu kuat’ atau ‘deposit tetap’ telah pun disebut-sebut sebagai simbolik benteng terakhir Umno-BN untuk terus menyambung hayat mereka dalam arus politik nasional. Mengikut kajian kami, terdapat beberapa punca mengapa penduduk luar bandar terpedaya dengan 'wayang kulit' Umno-BN.

(a) Taktala rakyat di bandar-bandar telah menyedari kebobrokan Umno-BN, penduduk luar bandar masih kurang mampu untuk mengakses, mengetahui dan memahami isu politik semasa.

Apatah lagi mereka hanya mendapat informasi dari media utama yang dikuasai dan dimanipulasi oleh kerajaan Umno-BN.

Propaganda media berat sebelah ini telah menjadikan penduduk luar bandar terpengaruh dengan dakyah memburukkan pembangkang. Pada masa yang sama, penduduk luar bandar tidak mempunyai ruang dan peluang yang adil untuk melihat politik daripada kaca mata yang berbeza.

(b) Tambahan kepada itu, keadaan menjadi parah apabila Umno-BN menggunakan wang rakyat, sama ada yang disalurkan oleh kerajaan mahupun ahli politik untuk menabur ‘gula-gula’ bagi mempelawa golongan luar bandar untuk mengundi Umno-BN.

Dengan taraf hidup yang rendah penduduk luar bandar, maka pengeksploitasian undi berlaku secara mudah. Seseorang yang kurang berkemampuan akan sanggup melaksanakan kehendak pemberi untuk menagih barangan, misalnya dengan memberi undi kepada Umno-BN untuk mendapatkan wang, beras, bekalan makanan dan seumpamanya.

(c) Manifesto janji manis berupa projek jutaan ringgit juga diuar-uarkan, hatta projek dan program yang dijanjikan tetap tertangguh selepas tamatnya pilihan raya. Projek jutaan ringgit dan janji manis ini hanya merupakan kaedah untuk meraih undi penduduk luar bandar. Melalui projek jutaan ringgit dan janji manis ini, pelbagai harapan yang indah-indah diukirkan, tetapi hakikatnya bertujuan untuk memperdayakan, menge­lirukan dan menipu penduduk luar bandar yang jujur dan naif.

Dalam menghadapi pelbagai tipu muslihat Umno-BN terhadap penduduk luar bandar, Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa strategi untuk memastikan rakyat menyedari, memahami dan melaksanakan reformasi perubahan.

Muafakat membawa berkat

Namun begitu, keadaan ini hanya akan menjadi realiti apabila wujudnya satu muafakat dan silaturahim antara rakyat dan Pakatan Harapan. Hanya dengan pemuafakatan dan kerjasama yang baik daripada rakyat, Pakatan Harapan percaya bahawa ideologi reformasi perubahan dapat menembusi kubu-kubu Umno-BN di luar bandar, lantas membawa terus pada reformasi nasional.

Pendekatan menemui penduduk luar bandar untuk mendengar dan menilai idea-idea berkaitan dasar Pakatan Harapan akan membawa keputusan yang lebih positif pada PRU yang akan datang.

Berbeza dengan ceramah kebiasaan, kempen-kempen seperti pendaftaran undi dan persediaan jentera pilihan raya turut giat dilaksanakan bagi memastikan PRU kali ini, penglibatan jutaan rakyat Malaysia yang menentang dasar kleptokrat Umno-BN berjaya dengan jayanya.

Usaha yang sudah bermula selepas PRU lepas sehingga kini dilihat mampu menggugat Najib Razak dan sekutunya untuk tidak memandang rendah pada kuasa rakyat Malaysia. Suara Rakyat Suara Keramat, Kuasa Rakyat Kuasa Mutlak!

Agenda reformasi

Selaras dengan itu, kini Pakatan Harapan menganjurkan siri-siri pembongkaran skandal 1MDB yang dijadikan topik utama untuk rakyat melihat kerajaan hari ini sebagai kerajaan kleptokrat.

Usaha menghapuskan masyarakat ‘katak di bawah tempurung’ perlu dibuat bagi memastikan rakyat tidak lagi diperbodohkan oleh propaganda murahan media Umno-BN semata-mata. Ia juga bertujuan untuk melengkapkan setiap warganegara Malaysia dengan ilmu, pemahaman dan kemahiran untuk menilai, menaakul, mentafsir, mengelas, menganalisis, dan mengaplikasi dalam bidang politik.

Hanya dengan kerjasama rakyat dan Pakatan Harapan, inisiatif untuk menembusi kubu-kuat Umno-BN dapat dilaksanakan. Sekiranya, wujud muafakat, kerjasama dan silaturahim ini, saya amat pasti Umno-BN akan kecundang pada PRU kali ini, dan Putrajaya akan diberi nafas baru melalui agenda reformasi oleh pimpinan Pakatan Harapan.


MANIVANAN GOWIN anggota Parlimen Kapar daripada PKR.

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen