malaysiakini logo
story-image
ADS

Apa sudah jadi dengan muafakat bangsa Johor?

Johor, sebuah negeri yang dahulunya dikenali dan disenangi dengan penuh santun.

Sebuah negeri yang menjadi rujukan dan panduan dalam segala aspek- ekonomi, integrasi kaum, sejarah, nilai Islam dan kemelayuan, kehebatan institusi kesultanan, kesantunan orang Johor dan banyak lagi.

Semua ini menjadikan Johor ikonik. Tanpa batasan, sesiapa pun mahu bersahabat dengan orang Johor.

Manisya detik itu.

Bangsa Johor sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi Kesultanan Johor, juga menjunjung kasih titah Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Suara hati baginda membawa mesej jelas bahawa setiap mereka yang telah diberi peranan sebagai seorang pemimpin perlu berkhidmat kepada rakyat. Maka bagaimana pemimpin di Johor ini?

Saat Johor dipimpin oleh pemimpin yang mendukung nilai dan tradisi Johor mahu membawa negeri ini ke landasan yang terbaik untuk pembangunan dan peradaban bangsa Johor itu sendiri, muncul tangan-tangan ghaib yang mahu mengambil kesempatan menidakkan serta mahu menggagalkan setiap perancangan yang terbaik untuk Johor.

Mereka yang bergerak atas nama Pakatan Harapan.

Pakatan yang muncul demi kepentingan kuasa dan agenda peribadi. Pakatan yang menggagalkan usaha membangunkan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) pada 2013.

Pakatan yang lantang mensabotaj setiap usaha di Iskandar Malaysia. Pakatan yang tergamak membuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka hingga menitiskan air mata mengenangkan segala usaha pembangunan untuk rakyat Johor dihalang.

Apakah mereka tidak senang dengan pembangunan ini?

Sebagai seorang rakyat Johor, kita bukan buta.

Kita menilai dengan mata hati. Dalam keasyikan Pakatan memomok dan menghasut rakyat, apa sumbangan mereka sebenarnya di kawasan yang dimenangi di Johor? Di mana mereka selama ini? Mana laungan agenda rakyat ketika mahu meraih undi? Siapa calon berintegriti yang mereka boleh harapkan untuk memimpin negeri ini?

Jawapannya, sudah tentu tiada.

Saat ini semua menjadi vokal: "Saya anak Johor." "Dulu saya bertanding di negeri lain, sekarang nak pulang ke Johor." "Saya kad pengenalan key-el tapi mak saya orang Johor." "Teman cakap Perak, tapi jiwa teman Johor."

Cukuplah. Cukuplah selama ini mereka bawa pemimpin luar demi memenangi undi di Johor yang akhirnya lesap tanpa berita.

Tuduhan jurucakap Melayu DAP seperti Sheikh Omar Ali adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor yang begitu yakin DAP dan pakatan pembangkang bakal menawan Johor.

Sebaliknya, kami di Johor yang muak dengan segala drama dan tindakan yang mengheret rakyat.

Selain itu, beliau turut terdesak mengheret anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi untuk menyokong pembangkang sedangkan Akmal merupakan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru dan Pengarah (BN Youth Volunteer) BNYV.

Jelas sekali tiada isu anak speaker Johor bercanggah dengan bapanya.

Perlu diingat, Tan Sri Shahrir Samad juga tidak mengikut jejak langkah adiknya, seorang pemimpin pembangkang.

Cukuplah memperbodohkan rakyat Johor khusunya di kawasan yang dimenangi oleh pembangkang.

Tiada satu pun manfaat yang dibawa oleh mereka untuk rakyat di kawasan mereka.

Janji sekadar janji, harapan tinggal harapan.

Akhirnya, kita ingin nakhoda yang dikenali. Kita mahu bahtera bernama Johor ini diketuai anak jati yang kenal setiap anak kapal dan tahu arah yang ingin dituju.

Kita sedar sejauh mana pun kita belayar mengejar cita-cita sebuah negeri, akar dan asal kita tetap terpasak di bumi bertuah ini di bawah naungan daulat Sultan Johor dan seluruh anggota keluarga baginda.

Kepada Allah kami berserah
 


Fikri Allaudin dari Gerakan Pemikir Muda

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen