malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Wajib lulus BM - Ramai tak peduli isu sebenar
ADS

Isu hangat baru-baru ini tidak semudah seperti “berhentilah bersungut, duduki saja peperiksaan Bahasa Melayu (BM)”.

Saya fikir mereka yang beranggapan sedemikian harus memahami kisah keseluruhannya.

Kenapa isu ini dihebohkan sedemikian besar?

Disebabkan semua orang berhak menyuarakan pendiriannya sendiri, mahu tidak mahu, mereka telah menyederhanakan isu sebagai "anak-anak diplomat yang berasa berhak dilayani, sehingga mencabuli martabat bahasa kebangsaan”.

Bukankah penyelesaiannya sederhana? Ia sekadar memudahkan pengambilan peperiksaan mata pelajaran BM di institusi pengajian perubatan, dan keizinan mengambilnya sebagai subjek tunggal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk calon aliran selain SPM?

Saya juga dibesarkan di luar negara tetapi kembali ke tanah air untuk pengajian perubatan. Tiada kelulusan subjek BM di peringkat SPM.

Ia tidak menjadi isu dulu malah laman web Kementerian Kesihatan Malaysia mensyaratkan kelayakan yang perlu ialah memiliki kredit BM atau “kelulusan setaraf dengannya”.

Setelah tamat pengajian, saya ditemuduga. Tiba-tiba timbul peraturan pada saat akhir, iaitu kelayakan-kelayakan lain tidak diterima kecuali lulus BM di peringkat SPM.

Itu peristiwa dua tahun dahulu. Kami dalam kalangan kumpulan pertama menjadi musykil. Syukurlah, kami dibenarkan meneruskan latihan terlebih dulu, tetapi dengan syarat harus mendapatkan kredit BM kemudian, dalam tempoh tertentu.

Jadi saya pun mendaftar untuk menduduki kertas BM di peringkat SPM secepat mungkin. Bukan sedikit pengorbanan yang harus saya lalui.

Entah beberapa jumlah hari yang terpaksa mengabaikan makan tengah hari (kerana tuntutan tugas berpanjangan di wad), kemudian tiada masa untuk makan malam walaupun sesuap (kerana perlu menghadiri kelas pembelajaran BM selepas kerja).

Rela kelaparan daripada tangguh pengajian

Dalam kelas BM itu, saya tidak belajar bagaimana untuk menjelaskan penyakit lelah kepada ibu bapa yang anaknya mengidap penyakit itu.

Juga tidak belajar bagaimana menerangkan pentingnya perubatan antihipertensi kepada warga emas yang berasa diri mereka asimtomatik.

Sebaliknya, saya belajar mengikut sukatan peperiksaan kertas sekolah menengah. Pada masa itu juga, saya menghafal setiap perkara yang mungkin diuji, serta menyimpan dalam ingatan setiap simpulan bahasa yang tidak pernah saya dengar dalam percakapan seharian.

Saya masih tertanya-tanya, kenapa pihak yang bertanggungjawab tidak mensyaratkan pengambilan peperiksaan mata pelajaran BM sewaktu saya masih di institusi pengajian perubatan?

Walau bagaimanapun, setelah melalui pengalaman itu, saya masih tetap lebih rela bersusah-payah membiarkan perut kosong dan menanggung kelaparan daripada menangguhkan kerjaya perubatan selama satu setengah tahun, seperti dicadangkan sesetengah pihak.

Bagi doktor yang baru mula menjalani kerjayanya, masa sebegitu terlalu lama untuk dibazirkan.

Saya yakin para doktor yang akan datang tidak sekali-kali memikir untuk menentang syarat mewajibkan lulus mata pelajaran BM.

Isunya ialah, kenapa tiba-tiba disyaratkan menduduki SPM bersama dengan lima mata pelajaran teras, serta lulus Sejarah?

Itu saja isu yang baru. Bukan soal tindakan keterlaluan beberapa anak diplomat. Perkara itu tidak wujud dua tahun dahulu.

Rasionalkah tuntutan bahawa doktor perubatan yang berijazah kembali ke bangku sekolah demi mempelajari enam mata pelajaran sekolah menengah?

Rasa tidak puas hati mereka seharusnya boleh diterima.


Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen