malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Kutuk kelucahan, adakan ruang selamat untuk wanita
ADS

Merujuk kepada kenyataan di laman sesawang rasmi ISMA, Sisters in Islam menegaskan, penggunaan imej wanita dalam pengiklanan bukanlah masalah dalam gambar pekerja Shell diperlakukan dengan lucah.

Perkara yang merupakan masalah dalam gambar tersebut adalah perlakuan lucah itu sendiri.

Pandangan ISMA mengalihkan beban tanggungjawab perlakuan lucah lelaki tersebut terhadap iklan yang memaparkan imej wanita.

Perlakuan lucah terhadap wanita seperti ini tidak patut diterima sebagai hanya suatu gurauan atau perkara yang biasa.

Ia mencerminkan pemikiran bahawa wanita dianggap hanya sebagai objek yang boleh dipegang, dibelek dan dicabul sesuka hati, bukannya manusia yang mempunyai martabat diri dan patut dihormati.

Gangguan seksual dan kekerasan terhadap wanita tidak berlaku tanpa keadaan atau persekitaran yang menerima pemikiran bahawa wanita boleh diperlakukan sebegitu.

Ia menunjukkan keadaan masyarakat yang tidak langsung menghormati wanita.

Menyembunyikan atau mengurangkan pilihan dan pilihan wanita daripada ruang awam yang selamat bukanlah jalan penyelesaian untuk mereka.

Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai masyarakat di Malaysia untuk membina, memupuk dan mengukuhkan setiap ruang, termasuk ruang pemikiran, fizikal dan maya yang selamat bagi semua dewasa dan kanak-kanak, tidak kira jantina atau agama.

Pada masa sama, perbuatan atau kenyataan yang mencabul, menghina atau merendahkan martabat wanita tidak boleh diterima sama sekali sebagai norma masyakarat.

Ia mesti ditentangi dengan bersungguh-sungguh. Sisters in Islam berasa amat kesal atas kejadian itu dan menyeru agar kita semua mengambil langkah proaktif untuk mendidik diri, keluarga dan masyarakat sekeliling bahawa kaum wanita adalah manusia yang wajar dihormati di setiap ruang, pada setiap masa.


Rencana ini adalah pandangan Sisters in Islam dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen