Semoga peguam Sarawak ke London bukan drama


(Dikemaskini )

Pemuda PKR Sarawak sedia maklum dengan tindakan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Openg yang mengarahkan pasukan undang-undang negeri ke London bagi mendapatkan gambaran penuh berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Mengulas tindakan tersebut, kami menyambut baik keputusan dan tindakan ketua menteri memperjuangkan hak Sarawak dalam Malaysia.

Pemuda PKR Sarawak tidak mempunyai masalah untuk menyokong tindakan tersebut sekiranya ia memberi manfaat kepada Sarawak.

Tambahan pula ia dibuat ketika rakyat Sarawak mulai sedar akan hak mereka sebagai salah satu komponen penting dalam penubuhan Persekutuan Malaysia.

Hak-hak tersebut hendaklah terus diperjuang dan dilaksanakan termasuklah isu royalti minyak kerana sebahagian besar medan minyak dan gas di negara ini terletak dalam perairan negeri Sarawak.

Walaupun terdapat pihak yang melihat isu ini sebagai satu tindakan pembaziran wang rakyat - kerana pada zaman teknologi moden ini terdapat dokumen-dokumen yang boleh didapati melalui medium komunikasi yang sedia ada - namun jika pemergian tersebut memberikan maklumat terkini yang tidak pernah diketahui dan diperolehi semua pihak, serta membantu mengembalikan hak penuh rakyat Sarawak, kami berpendapat ia adalah wajar.

Bagaimanapun Pemuda PKR Sarawak juga mencadangkan kepada ketua menteri untuk melantik barisan peguam dan pengamal undang-undang yang berkaliber serta berpengetahuan dalam isu ini, termasuklah daripada kalangan pembangkang untuk sama-sama menyertai pasukan tersebut.

Kami yakin PKR dan parti komponen Pakatan Harapan mempunyai ramai peguam berkaliber yang boleh membantu pasukan tersebut mendapat maklumat dalam lawatan berkenaan.

Pemuda PKR Sarawak juga melihat isu ini dari perspektif kebaikan rakyat Sarawak.

Kami percaya dengan prinsip bahawa hak Sarawak haruslah didahulukan berbanding hal-hal lain.

Ini juga secara tidak langsung akan memberi isyarat kepada kerajaan Persekutuan bahawa dalam isu memperjuangkan hak Sarawak, rakyat sedia bersatu hati walaupun berbeza parti dan prinsip.

Namun kami mengingatkan pasukan peguam dan pengamal undang-undang yang akan menyertai lawatan tersebut untuk menggunakan sebaik-baiknya wang rakyat, dan bukannya dijadikan "drama" atau percutian yang ditaja rakyat!

Pada masa sama, Pemuda PKR Sarawak juga konsisten menggesa ketua menteri untuk terus ikhlas dalam isu autonomi dan mendesak perdana menteri mengembalikan hak Sarawak!


ABDUL RAAFIDIN MAJIDI ialah ketua Pemuda PKR Sarawak. Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share