malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Memang ramai anggota BERSATU 'orang kecewa'
ADS

Acap kali ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) difitnah kononnya mereka yang menyertai parti ini kecewa kerana tidak dapat jawatan dalam Umno lalu menubuhkan parti baru dan mengajak orang yang kecewa menyertainya.

Sememangnya ahli yang menyertai BERSATU adalah mereka yang kecewa, tetapi apa yang kami kecewa tidak seperti yang mereka katakan.

Ada beberapa perkara yang kami kecewa dengan Umno sehingga membuatkan kami menyertai PPBM.

Antara kekecewaan kami ialah:

  • Sistem pentadbiran negara sejak akhir-akhir ini. Badan perundangan dan kehakiman seolah-olah dikuasai oleh badan Eksekutif. Kedua-dua badan itu sepatutnya bebas daripada campur tangan pemimpin atasan. Contoh: individu yang membangkitkan isu 1MDB dikenakan tindakan mengikut Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-langkah Khas] 2012).
  • Pemimpin Umno. Sikap mereka yang suka mencantas demi kepentingan diri dan lebih kepada menjaga periuk nasi sendiri. Ramai golongan muda yang berpotensi menjadi pemimpin tidak berminat dengan Umno kerana sikap segelintir pemimpin yang tidak boleh menerima idea mereka dan mudah terasa tergugat.
  • Amalan rasuah berleluasa di kalangan pegawai tertinggi kerajaan. Ia seperti apa yang berlaku di Johor, Sabah dan yang terbaru kemelut Felda Global Venture Sdn Bhd (FGV).
  • Sekatan media. Media massa sekarang lebih cenderung ke arah kerajaan dan terus menentang pembangkang dengan berita fitnah. Sepatutnya media massa lebih terbuka untuk membawa berita kerajaan mahupun pembangkang supaya rakyat dapat menilai sendiri apa yang berlaku.
  • Kelemahan perdana menteri. Beliau gagal menjawab dan menentang segala tohmahan terhadap dirinya dari dalam mahupun luar negara. Ia seolah-olah mengeyakan segala fitnah tersebut. Mengikut keyakinan orang Melayu, diam tanda setuju. Laporan Jabatan Kehakiman AS memberikan impak dan tangkapan di luar negara, tetapi sehingga kini tiada apa tangkapan di dalam negara. Sebelum ini, perdana menteri menyatakan mahu menyaman The Wall Street Journal (WSJ) tetapi masih tiada berita terbaru mengenainya. Perdana menteri juga lemah dalam sistem pemerintahan dan menjadikan cash is king. Wang adalah cara untuk menyelesaikan masalah.

Jadi benarlah mereka yang berada dalam BERSATU adalah mereka yang kecewa dengan Umno.


AIZAT KHALID ialah ketua Armada BERSATU Bahagian Bayan Baru. Surat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen