malaysiakini logo
story-image
ADS

Surat terbuka Presiden PAS, yang juga Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencemar nama baik seorang ahli legaslatif dan kedudukannya sebagai antara ulamak dunia.

Tuduhan kononya kuasa asing cuba untuk masuk campur hal ehwal negara ini jelas disebabkan kurangnya maklumat pada beliau, atau kemungkinan mengikut skrip biasa Umno sebelum ini bagi mengalih tumpuan dari isu sebenar.

Hakikatnya, Jabatan Kehakiman (DOJ) menggunakan bidang kuasa mereka terhadap prosedur kleptokrasi (perompak kekayaan negara) untuk mendapatkan kembali wang yang dicuri daripada 1MDB dan dibelanjakan di AS.

Abdul Hadi sepatutnya menganggap tindakan itu adalah baik untuk rakyat Malaysia, sebagai penerima manfaat utama.

Saya yakin tiada rakyat waras di Malaysia mahukan campur tangan asing dalam urusan negara.

Namun membantu negara asing untuk menangkap perompak besar dari Malaysia yang merompak di negara luar dengan menggunakan kekayaan negara, kita patut berikan bantuan demi menjaga maruah dan mengembalikan duit yang dirompak.

Surat terbuka Abdul Hadi secara tidak langsung menjadikan presiden PAS itu pembela kleptokrasi kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Tujuan mereka dan kumpulan lain yang 'sewaktu' dengannya - cuma satu, iaitu meraih simpati pengundi dengan memainkan sensitiviti perkauman, agama dan kini antibarat pula.

Naratif baru diperlukan iaitu sebagai seorang Muslim dan Melayu, kita mesti tegas dalam isu rompakan besar sebab ia boleh menghancurkan negara.

Ketegasan ini bukan bermakna kita tunduk kepada DOJ atau kuasa asing tetapi sebagai prinsip utama menyelamatkan kekayaan negara daripada dirompak pemimpin yang kita pilih.

Kita menolak campurtangan asing tapi kita mesti menangkap para perompak yang mencuri kekayaan negara!

Tindakan sebahagian mufti dan pemimpin agama seperti presiden PAS akan menjadi penghalang kepada rakyat menundukkan rompakan mega yang bermaharajalela.

Jika inilah sikap mereka, rakyat perlu membawa mesej yang tegas menolak mentaliti terkepung ini.

Justeru, Malaysia perlukan kepimpinan yang bersih daripada rasuah, berwawasan, berhati rakyat dan membina semula negara ini dengan semangat yang baru.

Hanya dengan itu Malaysia akan menjadi pelonjak perubahan dan pembaharuan tulen yang kita semua harapkan.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah anggota parlimen Parit Buntar.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen