malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya sangat gembira membaca laporan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memberkas tiga anggota polis peronda yang melakukan pemeriksaan tidak sah terhadap pekerja asing.

Mereka kemudian diambil tindakan oleh polis setelah dilaporkan oleh Khalid pada Selasa lalu.

Khalid mesti dipuji untuk dua sebab:

  • Pertama, kerana memberi contoh kepada Polis Diraja Malaysia untuk tidak menutup kesalahan anggota mereka dan ia mesti dilaporkkan.
  • Kedua, kerana Khalid telah menyekolahkan seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak bahawa polis peronda tidak boleh memeriksa dokumentasi pendatang asing.

Walaupun begitu, Bukit Aman masih perlu memberi penjelasan lanjut kepada orang ramai ekoran episod ini.

Adakah anggota polis yang sedang meronda boleh melakukan pemeriksaan rawak ke atas warganegara Malaysia, sekiranya mereka tidak boleh berbuat demikian terhadap pendatang asing?

Adakah orang ramai juga boleh melakukan apa yang telah dilakukan Khalid terhadap tiga anggota polis itu - dengan meminta kad pengenalan anggota dan bertanya sama ada mereka telah diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan, tanpa berisiko ditahan dan kemudian didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya?

Kesalahan mengikut peruntukan itu boleh membawa hukuman maksimum dua tahun penjara dan denda RM10,000.

Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia - khususnya di Kuala Lumpur - untuk kita melihat anggota polis dengan pelbagai kenderaan, daripada kapcai hingga kereta peronda, menahan dan membuat pemeriksaan ke atas individu, tidak kira warganegara Malaysia atau bukan.

Adakah Bukit Aman kini menyatakan bahawa kelaziman itu adalah suatu kesalahan?

Anggota polis yang bagaimana sebenarnya diberi kuasa untuk melakukan pemeriksaan ke atas orang ramai - termasuk warga asing - dan bagaimana untuk kita tahu bahawa tindakan itu adalah sah di sisi undang-undang?

Bukit Aman seharusnya menjalankan suatu taklimat berhubung isu ini kepada pihak media dan orang awam atas dasar ketelusan dan keadilan.


LIM LIP ENG ialah anggota parlimen Segambut mewakili DAP.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen