malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
From Our Readers
Program realiti - Tirulah nilai yang baik
ADS

'Alah, muka macam di sana tu, sekali di sini petik, sepuluh yang datang tau.' Filem Tiga Abdul. Sekitar 1960-an, dialog ini memang popular. Ia dituturkan oleh seniwati Sarimah dalam usaha menyakitkan hati pasangannya, Abdul Wahub.

Kini, dialog itu diterjemahkan kepada program realiti terkenal 'Mencari Cinta'. Seramai 10 jejaka bertanding merebut cinta seorang wanita. Dan ada juga media cetak memperuntukkan satu ruangan khas mengenainya.

Tidak hanya itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan agar stesen penyiaran tidak membuta tuli mencontohi program realiti seperti Akademi Fantasia dan Mentor.

Beliau berkata demikian dalam Seminar Pemikir Media dan Wawasan 2020 di USM baru-baru ini anjuran Pusat Pengajian Komunikasi, USM dan Kumpulan Utusan. Katanya, mencedok rancangan yang bercanggah dengan adat ketimuran boleh mengundang kerosakan moral dan media tidak sepatutnya melihat nilai komersial sahaja.

Semoga kita lebih prihatin terhadap budaya meniru nilai negatif ini. Apa yang diucapkan Datuk Seri Najib amat tepat. Budaya meniru membuta tuli bukan termasuk hal yang baik. Meniru itu bersifat subjektif. Jika kita meniru nilai yang baik, maka baiklah dan demikianlah jika sebaliknya. Mengapakah kita tidak meniru program realiti yang baik seperti The Apprentice misalnya?

ADS

Bawalah seorang tokoh perniagaan di Malaysia a la Donald Trump dan latih mahasiswa menjadi usahawan yang bijak dan berjaya. Negara kita tidak ketandusan usahawan bumiputera yang boleh melatih anak bangsanya melalui program realiti seperti ini.

Dengan cara ini, kita dapat melahirkan usahawan Melayu unggul dan 'glocal'. Jika kita boleh lahirkan usahawan ini melalui 'The Apprentice Malaysia', mungkin jumlah graduan menganggur akan berkurangan kerana kemunculan usahawan-usahawan baru ini boleh membuka ruang pekerjaan kepada puluhan ribu mahasiswa yang lain.

Mudah-mudahan dengan ini, watak Ali Baba (kelas bawahan) dan Kassim Baba (kelas atasan) dalam perniagaan Melayu, dapat dihapuskan kerana kebocoran tender dan AP.

Maknanya, saranan tidak ikut membuta tuli itu sangat berfaedah untuk diamalkan. Fikirkan mengenai masa depan anak bangsa dan jangan gadaikan maruah generasi muda hanya kerana inginkan keuntungan berlipat ganda menerusi sms.

Kita boleh buat undian SMS seperti dalam buletin berita TV3. Di samping untung, khalayak juga dapat menilai kedudukan sesuatu isu itu berdasarkan undian SMS. Hal yang baik seperti 'Malaysia Top Host' umpamanya boleh dikekalkan. Ada juga manfaatnya dengan melatih satu barisan pengacara baru untuk mengisi keperluan stesyen penyiaran itu sendiri.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.