malaysiakini logo
story-image
ADS

Besar harapan rakyat Malaysia untuk melihat negara tercinta ini dapat dibina semula dalam segenap aspek yang telah dan sedang dinodai Umno-BN. Perubahan besar ini jelasnya perlu dirasai dan dilakukan bersama segenap rakyat dan kepimpinan Pakatan Harapan.

Pilihan raya ke-14 yang bakal tiba dalam masa terdekat dan mungkin sahaja selepas hari raya akan menjadi peluang sekali lagi kepada rakyat untuk menolak parti rasuah Umno-BN kali ini.

Kehendak rakyat untuk melihat negara ini bersih daripada rasuah perlu diutamakan.

Pertembungan kali ini jelas adalah untuk rakyat Malaysia menolak kerajaan yang dipimpin oleh parti rantai berlian merah jambu dan dipimpin oleh orang yang kononnya 'menerima derma' dari sheikh Arab.

Penguasaan Umno-BN yang terlalu lama dalam pentadbiran Malaysia telah menyebabkan mereka terus bersuka-ria mencuri wang rakyat (kleptokrasi).

Pelbagai penyelewengan dan manipulasi institusi penting rakyat berlaku sehingga 'jerung' terus selamat.

Sikap peguam negara yang terus berdiam diri dengan pelbagai bukti jelas Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat terhadap penyonglapan kewangan yang berpunca daripada wang 1MDB, yakni wang rakyat Malaysia.

Hidup Melayu! Kita mahu Melayu selaku kaum terbesar di Malaysia pada hari ini punyai jati diri yang kuat dengan mengangkat nilai integriti dan seterusnya menolak rasuah serta perasuah yang memimpin negara ini.

Hidup Islam! Kita mahu Islam terus dipertahankan supaya akidah tidak terpisah dengan akhlak dan tadbir urus.

Juga amat mustahak sekali gus Islam terserlah sebagai rahmatan lil a'lamin. Islam memberi kasih sayang dan keamanan kepada semua makhluk ciptaan-Nya.

Pembawaan politik kaum dan anutan agama yang sempit perlu dibanteras agar Malaysia dapat membangun dengan nilai bangsa dan agama yang lebih inklusif dan rahmat kepada semua rakyat Malaysia.

Juga lebih utama pada hari ini ialah bagaimana untuk kita jadikan negara ini bersih dari rasuah?

Bagaimana duit poket rakyat setiap hari dapat ditingkatkan?

Bagaimana kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan? Bagaimana masalah pengangguran anak muda dapat diatasi?

Bagaimana untuk memastikan rakyat dapat berteduh di teduhan yang selesa dan tidak membebankan?

Justeru, usaha untuk menjadikan negara ini maju dan bertamadun hendaklah digerakkan bersama-sama seluruh rakyat, NGO dan parti politik dalam mendepani kerajaan perasuah yang telah mencuri berpuluh bilion wang rakyat.


MOHAMAD SABU presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen