Hakisan pantai Tanjung Bungah perlu tidakan segera


(Dikemaskini )

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius masalah hakisan yang berlaku di kawasan pesisir pantai Tanjung Bungah.

Kami menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera menyiasat punca hakisan di situ.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM, kami mendapati keadaan hakisan pantai di situ semakin ketara.

Penduduk setempat menyatakan bahawa masalah itu berlaku sejak 2016 lagi dan mengadu pihak JPS tidak mengambil tindakan berkesan bagi menangani masalah berkenaan.

Di samping aduan penduduk, Nelayan Tanjung Tokong dalam halaman Facebook kumpulan itu juga menyuarakan kerisauan nelayan-nelayan Tanjung Bungah terhadap hakisan pantai yang bertambah teruk di kawasan mereka.

SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani segera, besar berkemungkinan masalah itu semakin sukar ditangani sekiranya ia sentiasa terdedah kepada tiupan angin kencang dan ombak yang semakin besar.

Sekiranya situasi itu dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan yang wajar, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi kualiti hidup komuniti dan nelayan setempat.

Kesan hakisan ini bukan sahaja memusnahkan harta benda dan kawasan kediaman malah mengancam nyawa penduduk yang mendiami kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, SAM menyeru kerajaan negeri serta JPS memandang serius dan mengambil tindakan segera bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah hakisan pantai di Tanjung Bungah.


SM MOHAMED IDRIS ialah presiden Sahabat Alam Malaysia. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share