malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya berkesempatan untuk dengan beberapa orang guru telah mengajar saya.

Banyak perkara yang sempat kami bincangkan bersama, termasuklah berita penjawat awam di negeri Selangor menerima bonus dua bulan setengah.

Rata-rata mereka sangat terkejut.

"Kalau macam ini, Cikgu nak mohon kerja bawah kerajaan Selangor jugalah, boleh dapat bonus banyak."

Saya ketawa melihat respon mereka tetapi pada masa yang sama saya juga percaya ini inisiatif yang sangat bagus oleh kerajaan negeri Selangor bagi menghargai penat lelah penjawat awam.

Saya ingin berkongsi sebuah cerita mengenai "Amzin" yang merupakan rakyat di negeri Selangor dan "Masalan", rakyat di negeri XYZ.

Amzin ialah anak jati negeri Selangor, beliau juga bekerja di negeri Selangor.

Sepanjang beliau menetap di Selangor, bermacam-macam kemudahan telah beliau nikmati.

Apabila Amzin terima tawaran belajar, Amzin terima Hadiah Pengajian IPT sedangkan Masalan pula perlu berhutang dengan PTPTN.

Apabila Amzin berkahwin, Amzin menerima RM500 bawah Program Insentif Perkahwinan Belia sedangkan Masalan tidak terima apa apa bantuan kewangan.

Apabila Amzin membeli rumah, Amzin dapat Skim Rumah Selangorku sedangkan Masalan masih tidak mampu membeli rumah pertamanya.

Tetapi, Masalan baru sahaja menerima bonus sebanyak RM500 sedangkan Amzin terima bonus sebanyak dua bulan setengah.

(Contoh: Jika gaji Amzin sebanyak RM5,000, jumlah bonus yang diterima oleh Amzin ialah RM12,500, iaitu 25 kali ganda bonus si Masalan.)

Realitinya, jika di Selangor, kerajaan Amzin membeli laptop yang berharga RM4,000, harga yang dibayar ialah RM4000 juga.

Tetapi apabila di XYZ, apabila kerajaan Masalan membeli pemutar skru berharga RM32, namun dikatakan dia telah membeli pada harga RM224 bagi tiap satu pemutar skru.

Disebabkan inilah rakyat boleh dibiaya dan bermacam inisiatif yang rakyat negeri Selangor nikmati,

Ini baru sedikit, ada lebih 17 skim yang ditawarkan buat rakyat negeri Selangor.

Bas-bas percuma diwujudkan malah pemberian wifi percuma di bandar-bandar utama dalam Selangor turut menjadi tarikan dan terkini bonus gaji dua bulan setengah diberikan buat seluruh penjawat awam kerajaan negeri Selangor.

Mungkin ada mulut-mulut yang akan mengatakan ini semua sebenarnya hasil daripada menteri besar sebelum ini iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tetapi kita harus akui bawah pemerintahan Azmin Ali, beliau telah melakukan pelbagai inisiatif termasuklah program Peduli Rakyat yang bertujuan untuk membantu rakyat di negeri Selangor khususnya.

(Program peduli rakyat meningkat lebih dua kali ganda, Bonus jauh lebih tinggi, Rizab meningkat dan lain-lain.)

Di negeri Masalan, hutang negeri meningkat dan mencatatkan bajet defisit. Di negeri Amzin pula, rizab negeri melebihi RM 4 bilion. Surplus yang teramat tinggi.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi 2015, siri kedua laporan mengesahkan prestasi kewangan negeri Selangor adalah amat baik.

Malah, laporan itu menunjukkan surplus meningkat sebanyak 200 peratus antara 2014 hingga 2015.

Ini kerana bawah pemerintahan kerajaan negeri Amzin, beliau menggalakkan pemberian tender secara terbuka bukan atas dasar kronisme.

Tidak berlakunya ketirisan, ini dapat dibuktikan dengan pengiktirafan daripada Laporan Ketua Audit Negara terhadap ketelusan kepimpinan negeri Amzin.

Jauh sekali jika kita nak bandingkan dengan ketirisan dan pembaziran berjumlah berbilion ringgit yang dilakukan oleh kerajaan XYZ, belum lagi dengan salah guna kuasa, penyalahgunaan wang rakyat.

Sekiranya Malaysia mampu ditadbir sepertimana di negeri Amzin, saya percaya banyak yang kita mampu lakukan demi kesejahteraan rakyat, banyak peluang-peluang pekerjaan mampu diwujudkan, kemudahan kesihatan dan pendidikan mampu dinaik-taraf dan semestinya gaji mampu dinaikkan.

Lihatlah betapa untungnya rakyat di negeri Amzin dan ini hanya mampu dicapai apabila pemimpin yang baik memimpin serta mendengar suara dan rintihan rakyat

Saya percaya jika kita mempunyai pemimpin seperti ini, percayalah tidak mustahil satu hari nanti kita mampu menjadi antara 10 negara terbaik di dunia.


SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Malaysia.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen