Kami gemuk tak kacau orang, Mahathir


(Dikemaskini )

Saya Muhammad Akram Ahmar, dengan ini menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan ucapan Dr Mahathir yang tular di media sosial baru-baru ini.

Saya ingin menegur tindakan Dr Mahathir Mohamad yang memperlekeh malah menghina bentuk dan berat badan seseorang sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif.

Dalam dunia yang bertamadun ini, masih ramai yang membuat lawak dan memperlekeh personaliti seseorang berdasarkan rupa paras, tidak kiralah yang hitam, gemuk mahupun orang kelainan upaya.

Adakah perkara sebegini lucu bagi mereka? Dr Mahathir seperti negarawan nyanyuk yang hilang modal politik, menghina orang gemuk dengan menggambarkan orang gemuk makan rasuah dan jahat.

Ya, kamu ingin tujukan kepada isteri perdana menteri tetapi politik harus ulas fakta bukan menghina fizikal lebih-lebih lagi secara umum.

Bagaimana kalau isteri kamu Dr Siti Hasmah Mohamad Ali gemuk, adakah kamu akan ceraikan dia?

Mengambil kira apa yang Dr Mahathir perlekehkan tentang berat badan, ada 41 penyakit yang membuatkan mana-mana individu menambah berat badan.

Gemuk tidak jahat dan ramai orang gemuk bukan pilihan mereka. Saya sendiri gemuk sebab pengambilan ubat akibat penyakit asma kronik dan menderita edema.

Saya sebelum ini atlet dalam beberapa sukan di sekolah sehingga ke peringkat negeri.

Yang penting kami gemuk tak kacau orang dan tak cakap pusing pusing, menipu sana sini, korup, kayakan keluarga dan keturunan.

Ya, kamu, isteri kamu serta anak-anak kamu kurus tapi rakyat masih menanti penjelasan mengenai kekayaan luar biasa kamu yang melanun harta negara.

Berani atau tidak kamu, isteri dan anak beranak kamu isytihar harta kepada rakyat?

Dengan perangai Dr Mahathir yang seperti hilang punca ini kami anak muda sendiri jijik untuk menggelar kamu Tun.

Kamu perlu minta maaf. Jangan ingat kamu kaya raya, mewah boleh hina orang sesuka hati. Cukuplah membodohkan rakyat selama ini.

Saya mendesak Dr Mahathir minta maaf dan hentikan politik memperbodohkan rakyat.

Jelas Tun Dr Mahathir tunjukkan sikap pembuli. Ini adalah politik jijik yang Dr Mahathir mainkan selepas menghina Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Hentikanlah cara politik sebegini. Kita sudah masuk tahun ke-60 merdeka, politik matang harus diserapkan ke seluruh lapisan rakyat bertepatan dengan wawasan 2020 yang Dr Mahathir sendiri gagaskan.

Akhir kata dari saya, sudah-sudahlah Dr Mahathir. Rehatlah. Dah 22 tahun kamu memerintah.

Kamu tuding jari orang korup, tapi kamulah yang mula-mula korup. Apa yang berlaku sekarang dimulakan oleh kamu.
 


MUHAMMAD AKRAM AHMAR seorang aktivis sosial Melaka.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Share