malaysiakini logo
story-image
ADS

Kebelakangan ini sering kedengaran siri ugutan dari pihak kerajaan Malaysia yang pada hemat Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membunuh intelektualisme dan kebebasan bersuara rakyat di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Armada BERSATU menerusi Exco Pendidikan dan Mahasiswa mengutuk keras sikap autokratik kerajaan yang ditonjolkan menteri dan pegawai tinggi dalam kerajaan, setelah ugutan sebagai contoh yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 26 Mac lalu ke atas beberapa guru yang sememangnya boleh terlibat dalam politik seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam Bil. 9/2010 dan telah berkuatkuasa sejak 1 Ogos 2010.

Terkini semalam seperti laporan di beberapa media tempatan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman telah mengugut pelajar di bawah tajaan JPA yang mengkritik kerajaan untuk dikenakan tindakan drastik ditarik biasiswa.

Armada Malaysia mengutuk keras tindakan ini kerana ugutan drakonian sebegini jelas memusuhi perlembagaan yang menjaga hak tiap rakyat dan warga Malaysia dan benar-benar membunuh intelektualisme dalam menggalakkan anak muda dan golongan mahasiswa khususnya untuk berfikiran kritis dan lebih kritikal demi melihat Malaysia yang lebih baik.

Seseorang itu dinilai layak untuk pemberian biasiswa adalah disebabkan meritnya atas usaha dan kebijaksanaan setelah berjaya mendapatkan tempat di menara gading dan adalah menjadi tanggungjawab sepenuhnya bagi kerajaan yang adil dan baik untuk memberikan biasiswa kepada mereka yang layak atas merit pendidikan dan merupakan hak pelajar tersebut diberikan biasiswa biarpun kerajaan itu dikritik dikemudiannya akibat polisi-polisi lain yang lemah.

Pemberian biasiswa ini tidak masuk akal untuk ditarik atas hanya sebab kritikan dan tidak seharusnya dijadikan peluru untuk melahirkan generasi robot dalam golongan terpelajar untuk hanya berdiam diri atas kezaliman sistem atau mungkin perkakas untuk hanya sekadar melahirkan mereka yang pakar jilat, bukanlah golongan terpelajar yang mampu memimpin negara kelak dengan wibawa.

Bagi pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera sebagai contoh sememangnya tertulis dalam perlembagaan Malaysia untuk yang berjaya mendapatkan tempat ke universiti tetapi tidak memperolehi biasiswa, bermakna perkara ini bertentangan dengan semangat dan hasrat yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu.

Jelas sekali perkara ini tidak mempersoalkan hak untuk mengkritik dan bersuara apatah lagi hak bersuara turut dipelihara seperti dalam Perkara 10 perlembagaan yang sama.

Mahasiswa atau pelajar seharusnya bukan diugut atau dikenakan tindakan hanya kerana menyatakan beza pandangan serta kritikan dan segenap hal ini dizahirkan adalah kerana mereka cintakan tanahair dan inginkan perubahan.

Bercakap mengenai medan bersuara, Jelajah TN50 sebagai contoh yang menjadi medan kononnya mendengar harapan anak muda dan mahasiswa tidaklah dimainkan sepenuhnya oleh kerajaan apabila hanya mendengar segelintir suara anak muda manakala mereka yang banyak berpatisipasi dalam mencorak perubahan negara namun berada di pentas yang berbeza langsung tidak didengari atau diberikan peluang untuk turut serta menyatakan suara atau harapan mereka.

Jadi tidak salahlah untuk golongan ini bersuara atau mengkritik dalam ketidakadilan dan Armada melalui Exco Pendidikan dan Mahasiswa turut menggesa pihak JPA dari mengugut golongan bijak pandai harapan negara ini lebih baik mengugut pihak pimpinan negara dibawah kleptoktrat termashyur dunia, Datuk Seri Najib Razak untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran seperti membangunkan Taman Tugu sehingga RM700juta yang mana jumlah yang sama adalah jumlah yang diperlukan pelajar-pelajar Malaysia pada tahun lalu untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.


MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR adalah Exco Nasional Pendidikan dan Mahasiswa Armada BERSATU merangkap Pegawai Perhubungan Armada Malaysia.

Lihat Komen