malaysiakini logo
story-image
ADS

Pelaksanaan Automatic Lane Barrier (ALB) di UIA, Gombak mewujudkan banyak kekeliruan di kalangan pelajar kerana ia tidak dijelaskan terus kepada pelajar sebelum proses pelaksanaan pejabat pengurusan keselamatan (OseM).

Kronologi dan fakta di sebalik sejarah implementasi ALB adalah seperti berikut:

Pada 11 Januari 2017, pihak OSeM memanggil majlis perwakilan pelajar (SRC) untuk menghadiri penjelasan pagar automatik ALB.

Pada 17 Januari, iaitu seminggu berikutnya, dry run (percubaan) ALB telah dijalankan.

Namun, ia akhirnya dipinda ke 4 Februari disebabkan reaksi tidak puas hati banyak pihak termasuk pelajar, pensyarah dan kakitangan UIA secara keseluruhan.

Sewaktu percubaan dijalankan, berlaku kesesakan lalu lintas di depan pagar sehingga menyusahkan seluruh komuniti UIA termasuk perkhidmatan awam seperti bas, teksi, Uber dan Grab.

Situasi ini menimbulkan kemarahan sehingga terdapat cadangan pelajar untuk mengadakan demo bantahan.

Didesak kemarahan pelajar, UIA bersetuju untuk bertemu pelajar dalam sesi dialog pada petang 6 April 2017.

Semasa pertemuan, dijelaskan bahawa kajian pelaksanaan ALB ini telah dijalankan sejak tiga tahun lalu.

Universiti turut ditanya oleh pelajar tentang kos implementasi ALB dan akses kepada kertas kerja perlaksanaan ALB namun dua soalan ini cuba dielakkan.

Universiti menjelaskan mahukan sesi penambahbaikan pelaksanaan, sedangkan sewaktu mula dilaksanakan, tiada perbincangan dengan para pelajar.

Hal ini membuatkan pelajar terkilan dengan reaksi pihak berkuasa universiti yang sepatutnya bersikap telus terhadap sebarang pelaksanaan dan penambahan infrastruktur dalam kawasan kampus.

Jika benar pelajar dilayan sebagai pelanggan kepada institusi akademik ini yang memberi perkhidmatan kerana mereka membayar yuran, kos-kos yang terlibat dalam sebarang transaksi institusi sepatutnya tiada masalah didedahkan.

Oleh itu, akses kepada kertas kerja serta maklumat berkenaan kos terperinci perlaksanaan ALB perlu diberikan akses kepada komuniti UIAM.

Pada saya ini hak yang perlu diketahui ‘pelanggan’ institusi.

Sebagai seorang pelajar biasa, saya melihat isu ini sebagai isu yang besar dan pihak berkuasa universiti sepatutnya memberi kerjasama mendengar suara pelajar.


Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
 

[Malaysiakini telah menghubungi UIA melalui Pejabat Komunikasi Korporat dan sedang menunggu maklum balasnya. - Pengarang]

Lihat Komen