malaysiakini logo
story-image
ADS

Kenyataan ini adalah lanjutan daripada kenyataan-kenyataan dibuat Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengenai kenyataan Rafizi Ramli yang antara lain dilaporkan mendakwa, jika Akta 355 dipinda lebih ramai hakim mahkamah syariah akan menerima rasuah, dan ditangkap berbanding hakim mahkamah sivil.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sangat kesal dengan kenyataan Rafizi yang tidak berasas tersebut dan tiada statistik dikeluarkan bagi menyokong dakwaan beliau.

PPMM berpandangan kenyataan itu juga menimbulkan fitnah, keraguan dan memperkecil, malah menghina mahkamah syariah di Malaysia.

Memandangkan sebahagian besar ahli PPMM juga adalah peguam syarie makluman mengenai sebarang pendakwaan dan sabitan kesalahan hakim syariah adalah di dalam pengetahuan persatuan ini.

Oleh kerana tiada sebarang reaksi balas Rafizi walaupun PPSM dan PGSM mengeluarkan kenyataan mereka, PPMM mendesak agar penguat kuasa agama mengambil tindakan ke atas Rafizi.

Tindakan itu boleh dibuat menurut Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan dimajukan kepada ketua pendakwa syarie agar tindakan di bawah seksyen 210 akta boleh diambil.

Begitu juga bagi negeri lain yang mana dakwaan Rafizi ini terpalit kepada semua mahkamah syariah negeri-negeri.

Rafizi mesti bertanggungjawab terhadap apa yang diucapkannya semasa sidang parlimen olok-olok tersebut. Walaupun ia sidang olok-olok, kenyataan yang dibuat tidak wajar bersifat olok-olok juga kerana ia sangat memberi kesan kepada kedudukan mahkamah syariah di mata awam.

Seksyen 210 memperuntukkan, mahkamah hendaklah mempunyai kuasa menghukum mana-mana orang yang melakukan suatu penghinaan mahkamah dengan hukuman denda tidak melebihi RM1,000.

Seksyen yang sama juga terdapat di dalam Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah di semua negeri lain.

PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan agar isu-isu agama tidak dipolitik, apatah lagi dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Orang Islam hendaklah bersatu suara di dalam isu-isu agama dan tidak dihambat oleh kepentingan politik semata-mata.

Umat Islam arus perdana sudah jelak dengan sikap pihak-pihak tertentu yang tidak sudah-sudah mahu mempolitikkan kepentingan masing-masing walaupun di dalam isu agama.


DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM). Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen