malaysiakini logo
story-image
ADS

Baru-baru ini saya bertemu semula dengan pelajar-pelajar saya di Shah Alam ketika menghadiri persidangan anjuran sebuah universiti tempatan. Saya hadir bukanlah sebagai pembicara, lebih dekat hanya sebagai hadirin.

Tujuan saya cumalah untuk melihat semula universiti tempat saya bekerja lebih sepuluh tahun itu semenjak saya menumpukan perniagaan kek dan roti kecil-kecilan bersama anak di Bukit Beruntung.

Kemudian, kami pun ke restoran berdekatan untuk berbual-bual dengan anak-anak didik saya yang kebanyakannya sudah memasuki tahun akhir kuliah. Sekadar ingin tahu perkembangan-perkembangan baru.

Apa yang saya dengar pada petang itu telah membuat saya terkejut sebagai seorang bekas pensyarah. Firasat saya sendiri memang rasa tidak kena dengan pentadbiran baru universiti ini.

Pelajar-pelajar inilah yang mendedahkan kepada saya. Menurut anak-anak ini, yuran kemasukan telah dinaikkan hampir-hampir tiga kali ganda daripada harga asal untuk beberapa keadaan.

Tidak ada penjelasan yang diberikan sebelum yuran dinaikkan sebelum semester mereka bermula. Yuran baru diperkenalkan serta-merta. Ada beberapa daripada mereka telah bertemu pihak pentadbiran, namun banyak yang tersekat di situ. Karenah birokrasi.

Banyak daripada pelajar saya sendiri, yang saya kenal, bukannya datang daripada keluarga yang berada. Ada juga anak petani dan penjahit kain. Mereka risau untuk meminta wang daripada ibu bapa mereka di kampung.

Sesetengah daripada mereka terpaksa mengambil kerja tambahan di hujung minggu hanya untuk melunaskan yuran.

Itu tak termasuk lagi dengan bayaran saman yang dinaikkan sampai seratus ringgit. Hanya semata kerana salah parkir?

“Ya, mahal sekali madam. Majlis Bandaraya juga tidak pernah mengenakan saman setinggi itu untuk kesalahan salah parkir.”

Kita kena beringat: ini pelajar yang harus membayarnya. Bukan orang yang mempunyai pendapatan tetap.

Selain itu, yang menyayat hati saya adalah bagaimana begitu banyak dana untuk program-program universiti terpaksa dipotong. Mereka merungut kepada saya aktiviti-aktiviti yang dirancang tidak dapat lagi dijalankan kerana wang universiti tidak cukup.

Ada di kalangan mereka yang terpaksa mengumpul wang sendiri untuk menjayakan program kelab masing-masing.

“Mungkin universiti kita kesempitan wang, madam.” Seloroh mereka.

Merah wajah saya mendengarnya – bercampur malu, marah, dan kesal.

Saya balik daripada pertemuan itu dengan hati yang kesal. Ini tidak pernah terjadi sepanjang tempoh saya menganggotai bidang pendidikan di universiti tersebut. Bagaimana hal ini boleh dibiarkan sama sekali? Saya memasuki bidang pendidikan dengan harapan untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti demi masa depan bangsa, agama, dan negara.

Terfikir juga, adakah ini kerana pemotongan belanjawan pendidikan yang diumumkan beberapa bulan lepas? Beberapa akhbar pun ada memaparkan ribuan pensyarah yang berhenti kerja kerana kekangan wang.

Jika ini benar, kita sebagai warga Malaysia harus berwaspada agar masa depan anak-anak ini terjamin dengan baik.

Tidak patut sama sekali jika mereka terpaksa menanggung kepayahan yang berpunca daripada ketidakcekapan generasi kita yang lebih tua dalam menguruskan kewangan negara.

Saya menulis ini hanya dengan niat untuk menegur situasi pusat-pusat pengajian kita. Universiti kita seperti yang ditubuhkan oleh bapa-bapa negara dengan tujuan untuk melahirkan generasi cerdik pandai dan mampu bersaing dalam era globalisasi.

Membebankan mereka dengan yuran mahal, potongan dana, dan saman yang keterlaluan bukanlah jawapan yang kita semua carikan. Kita harus memikirkan sesuatu untuk menangani masalah ini, meskipun dalam ekonomi yang meribut.


SITI NUR BARIAH ABDUL HADI seorang bekas pensyarah sains gunaan di universiti. Beliau kini menetap di Rawang, Selangor.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen