Jangan biar Proton cuma tinggal sejarah


(Dikemaskini )

PKR menyifatkan penguasaan majoriti saham sebanyak 51 peratus ekuiti oleh pelabur luar umpama kerajaan melepaskan kepentingan harta intelek.

Malah, pemilikan status kereta nasional sejak sekian lama mungkin tinggal sejarah selain kehilangan hak jenama, paten, reka bentuk dan logo.

Malang sungguh rakyat Malaysia hari ini kerana bertuan kerajaan yang mahu ‘jual’ aset-aset strategik kepada pelabur asing.

Selain itu, penjualan ekuiti itu bakal memberi kesan rantaian yang besar kepada golongan pekerja dan industri automobil tempatan.

PKR juga khuatir berlaku kehilangan pekerjaan anak tempatan kerana pelabur luar tentu lebih berminat mengambil pekerja asing dari negara mundur yang kos buruh yang jauh lebih murah berbanding pekerja tempatan.

Bagi pekerjaan profesional juga, pelabur luar dijangka lebih cenderung mengambil pekerja asing dari negara maju, umpamanya Jepun yang mempunyai kepakaran lebih tinggi berbanding pekerja Malaysia.

Ini bukan bermakna negara kita tidak ada kepakaran tenaga profesional berkelayakan tetapi Malaysia mengalami masalah 'brain drain' iaitu ramai antara mereka bekerja di luar negara.

PKR juga tertanya-tanya sama ada menteri kewangan tidak arif mengenai saham ataupun terpaksa menyembunyikan fakta demi kelangsungan politik?

Atau, adakah penjualan saham proton itu semata-mata menutup kejayaan sekaligus memadam legasi Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)?

Sepatutnya, kerajaan harus mengutamakan pembangunan kemahiran pekerja terutama dalam reka bentuk dan keselamatan produk serta mengganda dan memperluaskan strategi pemasaran.

Untuk sekian kali, PKR menegaskan peri pentingnya mengamalkan konsep tender terbuka, selain memastikan paling kurang 51 peratus saham Proton dikuasai pelabur tempatan, bukannya pelabur luar.

Perlu diingat, kerajaan Umno-BN juga harus menurunkan harga kereta nasional seperti yang dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-13.


CHANG LIH KANG anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja daripada PKR.

Share