Bahaya penggunaan Waze di jalan raya


(Dikemaskini )

Penggunaan telefon bimbit semasa memandu oleh segelintir pengguna jalan raya di negara ini memang tetap berlaku sehingga kini.

Sebelum ini, untuk seketika fenomena yang popular di kalangan komuniti maya ialah permainan siber ‘Pokemon Go’ yang turut membawa pengguna sehingga ke jalan raya.

Akibat ketaasuban segelintir pengguna, maka kalangan mereka masih bermain sungguhpun ketika memandu di jalan raya. Perkara tersebut jelas suatu hal yang membahayakan kerana dengan hanya sedikit kelekaan, ia boleh mengundang padah.

Ada satu lagi isu keselamatan jalan raya yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat, iaitu penggunaan Waze - sebuah aplikasi pengemudian global yang banyak membantu sebagai penunjuk arah.

Bagaimanapun, isu yang timbul di sini ialah terdapat pengguna jalan raya - terutamanya yang menunggang motosikal - menggunakan aplikasi ini secara berbahaya.

Bayangkan, mereka menunggang motosikal sambil memegang dan melihat telefon bimbit selepas aplikasi Waze diaktifkan.

Bukankah perkara tersebut bukan saja membahayakan penunggang motosikal itu, malah pengguna jalan raya yang lain?

Seharusnya fungsi terbaru yang diperkenalkan pada aplikasi ini, iaitu mod passenger itu, dimaksimumkan.

Penunggang motosikal seharusnya tidak membahayakan diri dengan menggunakan aplikasi tersebut secara bersendirian, sebaliknya boleh meminta bantuan pembonceng untuk memegang telefon bimbit dan memberikan panduan berdasarkan kepada arahan Waze tersebut.

Bukankah cara ini lebih selamat untuk dipraktikkan?

Malah, berdasarkan rujukan kepada undang-undang Malaysia, sekiranya terdapat mana-mana pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu, mereka boleh disaman.

Dalam hal ini, undang-undang jelas menunjukkan bahawa penggunaan telefon bimbit semasa memandu itu sendiri adalah dilarang sama sekali.

Walaupun begitu berdasarkan kepada situasi semasa yang menampakkan wujudnya sikap mementingkan diri sendiri, maka seharusnya kadar saman yang dikenakan pada hari ini boleh dipertingkatkan lagi, terutamanya dalam isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

Perkara ini dirasakan wajar dilaksanakan untuk memberikan pengajaran kepada pengguna tentang pentingnya keselamatan di jalan raya.

Di samping itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh melaksanakan kempen kesedaran tentang bahaya penggunaan telefon bimbit semasa di jalan raya.

Menerusi penggunaan pelbagai bentuk wadah yang ada pada hari ini - termasuk media sosial - sasaran kerajaan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penggunaan telefon bimbit semasa memandu mampu dicapai dengan jayanya.


MOHAMAD HAFIFI JAMRI penuntut ijazah doktor falsafah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share