'Bloody fool' menghina tugas speaker


(Dikemaskini )

Semalam di parlimen, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertindak menangguhkan perbahasan usul anggota parlimen Marang, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355, ke sidang seterusnya yang bakal berlangsung antara Julai hingga Ogos.

Pandikar menjelaskan bahawa tindakan menangguhkan perbahasan tersebut adalah kerana beliau tidak mahu menjadi seorang ‘bloody fool’.

Pandikar berkata, “Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan diadakan pada sesi akan datang.”

Tindakan tidak rasional itu adalah suatu penghinaan kepada tugas dan tanggungjawab speaker - orang nombor tiga paling berkuasa dalam kerajaan persekutuan.

Lima rang undang-undang kerajaan ditarik balik malam sebelumnya, termasuk RUU bagi meminda Akta Keganasan Rumahtangga, dan satu hari suntuk dibazirkan untuk memberi laluan kepada Hadi untuk membentangkan usul persendiriannya.

Pun begitu, Pandikar telah menafikan hak dan tanggungjawab ahli-ahli parlimen untuk membahaskan usul Hadi, hanya kerana Pandikar berkuasa berbuat demikian dan tidak mahu menjadi si bahlul, atau ‘bloody fool’ menurutnya.

Ini merupakan kali ketiga Pandikar membiarkan wayang Haji Hadi dipentaskan di Dewan Rakyat selain membazirkan masa dan tenaga semua orang.

Memandangkan Pandikar telah menafikan hak ahli-ahli parlimen untuk membahaskan betul-salah usul Hadi, saya ingin mengundang semua rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk menghantar cerpen atau esei ke laman Facebook rasmi saya dengan tajuk “Adakah Pandikar seorang bloody fool?.

Tulisan paling cemerlang menggambarkan tingkah laku Pandikar akan dipilih oleh saya dan rakan-rakan anggota parlimen DAP.

Pemenang akan menerima hadiah tunai berjumlah RM2,000; sumbangan anggota parlimen Ipoh Timur Thomas Su, dan saya sendiri.


LIM LIP ENG anggota parlimen Segambut.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Share