malaysiakini logo
story-image
ADS

Kenyataan presiden PAS seperti yang disiarkan di Malaysiakini pada 31 Mac lalu tidak lebih daripada sekadar mempamerkan ego parti berjenama Islam itu setelah dipermainkan oleh perdana menteri dan Umno.

Ia juga merupakan syndrome of denial Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu, kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan juga bagi saya wajar menjadi tamparan buat PAS.

Sekurang-kurangnya atas niat apa sekalipun, Datuk Seri Najib Razak tahu menghormati keputusan konsensus gabungan parti dalam BN berbanding PAS sewaktu bersama Pakatan Rakyat (PAKATAN) dulu.

PAS harus sedar, parti itu gagal mematuhi keputusan bersama mesyuarat khas Majlis Pimpinan PAKATAN pada 8 Februari 2015 yang bersetuju untuk membincangkan lebih terperinci isu Enakmen Jenayah Syariah (hudud) dan isu berkaitan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

Asas kepada keputusan tersebut amat jelas memandangkan kedua-dua isu ini merupakan isu kontroversi yang jika tidak ditangani dengan bijak, akan memberi keuntungan politik kepada Umno dan BN.

Kesan kegagalan PAS mematuhi keputusan bersama itu telah menyebabkan isu rang undang-undang meminda Akta 355 menjadi polemik berpanjangan sehingga hari ini.

Dalam tempoh tersebut, perpecahan berlaku dalam PAS dan PAKATAN. Bahkan rakyat turut menjadi keliru. Fokus kepada agenda membela nasib rakyat dan menyelamatkan Malaysia oleh pembangkang dilihat berbolak-balik.

PAS perlu mengakui bahawa banyak masa telah dihabiskan kesan daripada polemik usul pindaan Akta 355 itu berbanding membincangkan isu rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan, penyusutan nilai ringgit, penguncupan kuasa beli rakyat, serta rasuah dan salah guna kuasa pemimpin dalam urus tadbir negara.

Isu-isu inilah sebenarnya secara langsung menyentuh kelangsungan hidup seharian rakyat yang mesti diperjuangkan.

Kenyataan Abdul Hadi bahawa "PAS langsung tidak terkesan" apabila Najib menyatakan hasrat kerajaan tidak membentangkan usul pindaan RUU355 pada 29 April lalu hanyalah mempamerkan sikap PAS yang lebih cenderung mengira untung rugi dan air muka partinya sendiri berbanding membela nasib rakyat yang kian terhimpit.


SHEIKH OMAR ALI ialah penolong setiausaha publisiti DAP Johor.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen