⁠⁠⁠Saya Mujahid Yusof Rawa, bukan Mujahidin Zulkifli

Mujahid Yusof Rawa
(Dikemaskini )

Nama saya secara pendaftaran ialah Mujahid bin Yusof tetapi dikenali ramai sebagai Mujahid Yusof Rawa.

Ayah saya Haji Yusof Bin Haji Abdullah atau dikenali sebagai Haji Yusof Rawa dan bukan Yusof Raja.

Sebahagian tulisan saya boleh dibaca melalui artikel-artikel dimuatkan dalam Malaysiakini, dulu sebagai kolumnis dalam TMI dan sebuah buku Malaysia Pasca Rasisme adalah sebahagian kumpulan artikel yang saya titipkan sejak hujung 90-an.

Buku saya Islam dan Kepelbagaian: Rahmat Untuk Semua terbitan Ilham (2015) menjelaskan sikap saya terhadap masyarakat berbagai kaum dan bagaimana Islam boleh hidup secara rukun (aman) dalam kepelbagaian ini.

Buku saya Islam Bukan Agama Teroris terbitan Ilham (2016), menjelaskan isu Islamophobia dan bagaimana isu keganasan dieksploitasikan untuk tujuan pemetaan semula kuasa-kuasa besar dunia.

Selain itu penularan ideologi ekstrimisme membawa kepada terorisme adalah asing dalam memahami karakter Islam yang penuh dengan sifat rahmah.

Kebelakangan ini simpang-siur pemikiran tentang bagaimana keberadaan Islam dalam realiti kenegaraan beredar dari longgar dan cair kepada keras dan ekstrim.

Sikap saya amat jelas dalam hal ini dengan meletakkan isu Islam kontemporari dalam neraca maqasid syariah.

Ia bukan soal mencairkan atau mengeraskan Islam, ia persoalan mengembalikan roh syariat yang mewajibkan keadilan, kesaksamaan dan kebebasan.

Saya membuat penjelasan ringkas ini apabila ada orang yang mengaitkan seorang penulis bernama Mujahidin Zulkifli dengan nama saya.

Saya ada membaca tulisan Mujahidin Zulkifli tetapi yang pasti Mujahidin Zulkifli bukan Mujahid Yusof Rawa.

Anda hanya perlu membaca tulisan saya untuk membezakan antara Mujahidin Zulkifli dan Mujahid Yusof Rawa.

Sehubungan itu pihak yang kaitkan nama saya dengan pandangan yang bukan mewakili pemikiran saya apatah lagi secara sengaja tidak dapat membezakan Mujahidin Zulkifli dan Mujahid Yusof Rawa (bukan Yusof Raja) harap dapat memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen dan Naib Presiden Parti Amanah Negara.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Share