malaysiakini logo
story-image
ADS

Berkhidmat selama setahun dalam majlis perwakilan pelajar memberikan saya banyak pelajaran yang berguna.

Menangani permintaan mahasiswa yang tidak pernah puas dan dalam masa yang sama saya harus meyakinkan pihak pentadbiran bahawa apa yang diminta oleh mahasiswa itu ada rasionalnya.

Sekali-sekala pendekatan diplomasi diambil dan dalam beberapa keadaan langkah konfrontasi harus diambil untuk menyedarkan pihak pentadbiran bahawa mahasiswa adalah pihak berkepentingan yang perlu dihormatinya permintaannya.

Jika saya ditanya perkara yang paling mengecewakan sepanjang menjadi khadam kepada pentadbiran dan mahasiswa, maka tanpa sebarang keraguan saya ingin mengatakan kebanyakan mahasiswa pada masa kini menghidap penyakit ‘mati pucuk’.

Penyakit ono menyebabkan penghidapnya takut dengan semua perkara, termasuk perkara-perkara yang sebenarnya tidak memberi sebarang kemudaratan.

Takut perjuang hak sendiri

Saya tidak mendambakan semua mahasiswa Malaysia menjadi radikal, atau semuanya menjadi aktivis yang bangkit menentang penindasan atau lantang mengkritik hal-hal yang dilihat tidak masuk akal.

Itu adalah utopia.

Harapan terbesar yang saya miliki adalah; melihat sekurang-kurangnya 20-30 peratus mahasiswa di setiap kampus bebas daripada ‘mati pucuk’.

Paling mengecewakan apabila lambakan mahasiswa enggan memperjuangkan hak mereka sendiri melalui saluran yang betul.

Mereka cuma mengharapkan agar majlis perwakilan pelajar yang mempunyai kuasa yang sangat terhad itu untuk menyelesaikan semua masalah.

Lebih menyayat hati apabila majlis perwakilan pelajar ini mengajak mereka untuk berjuang bersama, mereka mengaku ‘mati pucuk’ dan tidak dapat turut serta.

Ketika saya sedang menentang satu dasar berkenaan mahasiswa harus berada di industri selama 10 hari semasa cuti, saya meminta bantuan beberapa orang mahasiswa.

Saya tidak meminta untuk mereka turun demonstrasi haram atau berjihad di Syria, saya cuma meminta agar mereka selalu menghantar aduan ke fakulti untuk memberikan tekanan dan gambaran mahasiswa menolak program itu, tapi kebanyakan mereka ‘mati pucuk’ untuk berbuat demikian kerana takut dikenakan hukuman.

Padahal secara logiknya, tidak ada sebab rasional yang membolehkan seseorang mahasiswa itu didakwa hanya kerana mengisi borang aduan yang selalunya sekadar menjadi perhiasan itu.

Beromantis dengan sejarah

Sekiranya kita sering beromantis dengan sejarah mahasiswa, maka kita akan melihat mahasiswa sebelum Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sering membangkitkan isu-isu masyarakat tertindas dan kritikan-kritikan bernas terhadap situasi politik negara.

Penglibatan keseluruhan mahasiswa dalam aktiviti seperti ini ketika itu adalah mustahil, seperti yang saya katakan pada awal tulisan ini, tapi penglibatan mahasiswa yang sedikit memberi impak yang besar.

Saya bersyukur kerana masih ada beberapa persatuan dan kolektif mahasiswa yang masih sudi membela masyarakat pada masa kini dengan mengambil kes perjuangan mahasiswa bersama penduduk Kampung Permatang Tok Subuh sebagai contoh.

Aktivis-aktivis inilah yang digelar radikal, tak sayangkan masa hadapan dan mencari publisiti, tapi perjuangan tersebut telah membawa rahmat kepada penduduk kampung.

Jika penyakit ‘mati pucuk’ ini tidak diubati, saya membayangkan masa hadapan yang cukup mengerikan.

Mahasiswa sekarang berpotensi besar untuk diangkat menjadi pemimpin politik pada masa hadapan, dan sekiranya mereka belum sembuh daripada penyakit ‘mati pucuk’, maka pastinya kehadiran mereka dalam arena politik hanyalah sebagai pak angguk.

Dihukum, didiskriminasi

Amat malang apabila sistem pendidikan kita sering dipengaruhi dan dikawal oleh politikus-politikus yang mementingkan dompet dan imej mereka.

Hal ini menyebabkan ramai aktivis mahasiswa yang vokal dalam mengkritik dan menyuarakan pandangan menjadi sasaran untuk dihukum oleh pihak universiti.

Acuan pendidikan tinggi negara telah dicipta untuk mahasiswa menghabiskan keseluruhan masa di kampus untuk memikirkan perihal pointer, melaksanakan program-program yang tidak ‘sensitif’ (baca: program sekolah menengah).

Jika ada aktiviti-aktiviti yang bagus pun selalunya ia diluluskan kerana jauh daripada unsur politik.

Mahasiswa ditanamkan stigma bahawa pendidikan tinggi dan politik tidak mesra pemerintah tidak boleh bersama.

Mahasiswa boleh terlibat dalam politik tanpa sebarang gangguan dengan syarat penglibatan itu telah mendapat 'sijil halal' pemerintah.

Ini adalah satu budaya yang tidak sihat dan jelas tidak adil, bukankah keadilan dan keberanian itu adalah sahabat baik ilmu?

Aktivis mahasiswa yang vokal juga selalunya akan menerima diskriminasi yang hebat daripada penghidap penyakit ‘mati pucuk’.

Mereka akan dilihat ‘nakal’ dan mensia-siakan masa berada di kampus dengan melakukan aktiviti yang mereka sepatutnya tidak lakukan.

Saya berpandangan sangat sukar untuk mahasiswa yang penghidap penyakit ‘mati pucuk’ dan mereka yang bebas untuk bergerak sehaluan, bagai air dan minyak.

Simptom awal ‘mati pucuk’ adalah sifat pentingkan diri sendiri dan jahil.

Sekiranya mahasiswa dapat menangani dua simptom ini, saya yakin mahasiswa itu akan bebas daripada ‘mati pucuk’.

Moga kita semua terpelihara daripada penyakit ‘mati pucuk’ yang akan memandulkan aktivisme mahasiswa.


RAHMAN IMUDA yang dipertua Ikatan Anak Muda Tawau dan naib yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sebuah universiti awam.

Surat ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen