malaysiakini logo
story-image
ADS

Penulis bukan seorang yang suka berjalan. Tetapi semenjak anak-anak mula membesar, mahu tak mahu terpaksalah bawa mereka berjalan. Penulis juga bukannya orang yang berada sehingga boleh membawa anak-anak ke luar negara. Jadi berjalan dalam negara sahajalah pilihan yang ada.

Lagi pun apa kurangnya Malaysia? Dengan pantai-pantai yang menarik, tempat bersejarah, kawasan peranginan dan tempat beriadah yang berkelas dunia, kenapa harus penulis menghabiskan duit melancong ke luar negara? Jom jimat duit dengan dengan melawat tempat-tempat menarik di Malaysia.

Sejak setahun lalu beberapa tempat telah berjaya penulis lawat, termasuk di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Johor. Beberapa tempat telah dilawati, jadi apa masalahnya?

Tiada masalah, penulis amat bangga dengan kemajuan industri pelancongan negara dan usaha kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri dalam memberikan suasana beriadah yang berkualiti dan selamat untuk penduduk negara ini.

Tetapi selepas melawat tempat-tempat menarik di Malaysia ini, penulis merasakan andaian bahawa melancong dalam negara lebih murah adalah kurang tepat. Malahan kos untuk melawat satu-satu tempat dengan ahli keluarga ideal iaitu ibu bapa dan dua orang anak adalah tidak relevan.

Contohnya penulis melawat sebuah taman tema di selatan tanah air dan kos yang dikenakan untuk dua orang dewasa dan kanak-kanak mencecah angka RM650 untuk tiket masuk sahaja.

Itu tidak termasuk harga hotel, makanan di dalam yang harganya entah apa-apa dan cenderahati yang harganya boleh buat penulis demam panas untuk satu minggu.

Penulis singgah pula di negeri bersejarah yang kini boleh dikatakan sebagai negeri yang sesak. Harga yang dikenakan untuk satu-satu perkhidmatan yang diberikan menyebabkan penulis terkedu.

Penulis terfikir, adakah selama ini penulis tinggal dalam hutan dan tidak tahu menahu tentang harga satu-satu perkhidmatan atau memang ini harga yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dan pelancong ke negeri ini. Keliru penulis memikirkannya.

Di Perak pula penulis mengunjungi sebuah taman tema yang hanya terletak di sebelah taman tempat tinggal penulis. Tiket masuk ke tempat ini agak relevan dengan RM180 untuk sebuah keluarga ideal.

Tetapi sekali lagi penulis terkejut melihat harga makanan yang disediakan. Taman tema ini tidak membenarkan pengunjung untuk membawa makanan, hatta minuman pun ke dalam.

Harga secawan teh tarik RM5 pun sudah menyebabkan penulis hampir koma. Kedekut sangatkah penulis, RM5 pun nak berkira?

Penulis sampai pula ke Pulau Mutiara dan melawat kawasan peranginan dan sebuah tempat sejarah. Kawasan peranginan yang memerlukan kita membeli tiket ini agak murah. Penulis sangat gembira.

Bajet masih ada. Bagaimanapun apabila sampai di kawasan peranginan itu sekali lagi penulis seperti mahu koma dan demam panas lagi sekali.

'Masamnya muka, senyumlah sikit'

Setiap satu kawasan di pusat peranginan ini memerlukan bayaran untuk dinikmati. Semua kawasan yang memerlukan bayaran ini adalah unsur yang menarik minat kanak-kanak.

Kalau tak bawa masuk anak-anak akan tarik muka. Mahu tak mahu terpaksa bawa. Untuk menjimatkan kos penulis dan pasangan penulis terpaksa bergilir untuk bawa anak anak masuk.

Bayaran untuk masuk ke kawasan peranginan ini yang pada mulanya dalam bajet, sekarang melencong tinggi dan silap hari bulan boleh menyebabkan penulis makan Maggi di hujung bulan.

Setiap satu perkhidmatan di kawasan ini seperti mempunyai checkmate yang memerlukan pengunjung berfikir untuk melepaskan diri.

Penulis akhirnya sampai di sebuah kawasan bersejarah di Pulau pinang yang telah lama penulis idamkan. Penulis disambut dengan ucapan selamat datang tetapi dengan muka masam oleh penjaga kaunter wanita yang penulis percaya bukannya warga Malaysia.

Masamnya muka, senyumlah sikit.

Penulis telah membayar RM45 untuk keluarga ideal penulis iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak untuk memasuki kawasan berkenaan. Penulis diberikan peta kawasan dan disuruh untuk mengikut anak panah untuk melihat kawasan berkenaan.

Seperti kerbau dicucuk hidung, penulis telah mengikut arahan wanita garang itu. Satu jam perjalanan ke dalam kawasan bersejarah, penulis dan keluarga sampai semula ke kawasan kaunter tiket.

Semasa duduk berehat melepaskan lelah, penulis melihat ada sekumpulan pelancong Malaysia sedang membeli tiket.

Penulis lihat selepas tiket dibeli, kumpulan itu telah diberikan penerangan mengenai tempat itu secara sepintas lalu oleh seorang pemuda yang penulis andaikan sebagai warga Malaysia selepas melihat dari gaya dan percakapan bahasa Melayunya yang fasih tanpa sebarang slanga.

Penulis merasa tertipu, kenapa keluarga penulis tidak diberikan penerangan oleh wanita tadi. Penulis bangun dari tempat duduk dan masuk ke dalam kafeteria di kaunter kawasan bersejarah itu.

Melihat penulis masuk, wanita yang menjual tiket kepada keluarga penulis terus meluru ke arah penulis, mungkin takut penulis akan mencuri barang dalam kafeteria berkenaan rasanya.

Sambil penulis berjalan, dan wanita itu mengekori di belakang, penulis bertanya, “kakak dari mana?”

Wanita itu menjawab, ”Saya dari negara jiran kakak.”

Penulis bertanya lagi kenapa dia tidak memberikan penerangan tempat itu kepada penulis dan keluarga penulis semasa penulis membeli tiket tadi.

Wanita itu menjawab “Saya tak tahu mahu cerita”.

Saya terkedu dan rasa tertipu. Jadi orang yang beli tiket dari lelaki warga Malaysia akan mendapat penerangan, tetapi kalau membeli tiket dari wanita ini, keadaan adalah sebaliknya. Ini tidak adil.

Pekerja asing di kaunter

Dan ini bukan pertama kali penulis berurusan dengan warga asing di kaunter perkhidmatan tiket, makanan dan pendaftaran.

Setiap kawasan pelancongan yang dikunjungi oleh penulis pasti ada warga Bangladesh yang akan menjaga kaunter tiket dan warga Indonesia yang akan menjaga kaunter makanan.

Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap sopan santun. Terus terang penulis nayatakan di sini. Dengan kebanjiran warga asing dari luar dalam industri perkhidmatan, identiti rakyat negara ini semakin terhakis.

Penulis juga percaya satu hari nanti jika ada orang yang menyatakan rakyat Malaysia adalah golongan yang bersopan santun, orang yang mendengarnya pasti akan mati terkejut atau koma untuk satu tahun. Percayalah.

Satu lagi isu yang harus diketenghkan, setiap tempat yang dikunjungi penulis akan ada aktiviti yang amat membosankan dan menaikkan darah.

Semasa penulis mahu menggunakan perkhidmatan bersiar-siar di bandar bersejarah, Melaka, tiba-tiba ada seorang lelaki menahan penulis dan keluarga penulis selepas membeli tiket. Katanya gambar keluarga penulis harus dirakam untuk tujuan keselamatan.

Mendengar alasan keselamatan, penulis pun akur dan bangga kerana pihak berkuasa mengutamakan keselamatan pengunjung di kawasan berkenaan. Tetapi, rupa-rupanya ini merupakan kumpulan yang mencari rezeki dengan merakamkan gambar dan menjualnya sebagai cenderamata.

Aktiviti ini berlaku di semua tempat yang dikunjungi oleh penulis iaitu dari Johor hinggalah ke Pulau Pinang. Harga cenderahati ini pula boleh tahan mahalnya, RM50 hingga RM80. Dahsyat.

Jadi penulis mengikut jawapan orang yang sedang baca artikel ini, kalau tak suka, jangan beli.

Jadi penulis tak beli. Soalnya jangan paksa dan tipu orang untuk bergaya di hadapan kamera dan kemudian menjadikan orang serba salah untuk membelinya pula. Ini perkhidmatan secara paksa kepada pelancong.

Penulis nasihatkan agar beritahu kebenaran dan minta izin dari empunya badan untuk rakamkan gambar.

Mana etika orang yang melakukan aktiviti ini dan adakah pihak kerajaan-kerajaan negeri tahu berkenaan aktiviti ini tetapi benarkan sahaja dengan alasan golongan ini mencari rezeki. Jangan cari rezeki dengan bodohkan orang lain.

Adakah kerajaan-kerajaan negeri arif dengan apa yang sedang berlaku dalam sistem pelancongan di negeri masing-masing? Memang macam inikah sistem pelancongan di Malaysia?

Suasana seperti inikah yang harus penulis hadapi setiap kali penulis melancong dalam negara? Mana hala tuju sistem pelancongan di di negara ini? Atau adakah penulis sahaja terlalu cerewet?

OK, seperti biasa, saya akan ikut nasihat yang akan pembaca berikan semasa baca artikel ini:

“Kalau rasa mahal dan semua tak kena, jangan berjalan. Baik duduk dalam rumah tengok TV atau pergi mereput di dalam gua. Noktah.”


DR RANI ANN BALARAMAN pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Lihat Komen