malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Jangan kerana politik, anak muda tiada masa depan
ADS

Anak muda membentuk lapisan besar dalam masyarakat dan penentu masa depan negara kita. Kekuatan dan kelangsungan sesebuah negara terletak di tangan para pemudanya. Golongan ini satu kekayaan nasional yang tidak terhingga harganya.

Anak muda rata-ratanya cukup teruja dengan harapan yang diberi kepada mereka. Seruan agar mereka menjadi pelapis kepada peneraju negara disambut dengan bangga.

Maka berbondong-bondonglah mereka menyertai parti politik, berdemonstrasi, berdebat menunjukkan kebolehan dan kebijaksanaan masing-masing. Seolah-olah jika hari ini mereka dilantik menjadi pemimpin negara maka selesailah segala masalah negara.

Keterujaan dan kelantangan mereka mendapat pujian rakyat jelata. Malah ada yang diangkat sebagai wira walaupun jasa entah di mana.

Sedar tak sedar mereka akhirnya hanya menjadi alat sesetengah pihak dengan berdemo sana sini atau dalam bahasa politiknya “balaci” ahli politik dari kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Ada yang terlolong-lolong menuntut hak masing-masing tetapi dengan menggunakan saluran yang tidak betul, mengutuk cara kepimpinan orang lain sedangkan mereka sendiri tidak tahu memimpin. Hajat hati ingin menjadi pemimpin tetapi diri sendiri juga hanya mengikut-nikut.

Andai kata parti yang mereka sokong menang pilihan raya atau pemimpin yang mereka puja berjaya merampas takhta, lalu apa seterusnya untuk diri mereka? Takkanlah mereka akan terus dilantik menjadi menteri?

Dan jika benar dilantik ke sesuatu jawatan, apakah mereka mampu memikul tanggungjawab itu tanpa sebarang pengalaman? Lebih malang apabila terlalu asyik ‘memperjuangkan’ negara, mereka telah gagal untuk mendapat keputusan yang baik atau gagal terus dalam peperiksaan.

Yang menghairankan, apabila kerajaan mengumumkan potongan bajet pendidikan, tidak pula kita dengar wakil pelajar di universiti-universiti bangun memperjuangkannya habis-habisan.

Justeru, dalam keghairahan anak muda untuk berjuang demi masa depan negara, mereka harus bertanya kepada diri sendiri terlebih dahulu, bagaimana dengan masa depan mereka?

Pendidikan dan pengalaman itu penting. Apa gunanya jika sekadar pandai bercakap tetapi diri sendiri tidak memperoleh sebarang pendidikan. Kerap kali kita menyaksikan anak muda memilih haluan politik sebagai kerjaya mereka apabila gagal dalam pendidikan.

Ini kerana mereka tidak memerlukan sebarang ijazah atau sijil pelajaran untuk menjadi ahli politik. Ada juga yang setelah menamatkan pengajian, mereka memilih untuk berpolitik sepanjang hidup mereka. Seolah-olah apabila mereka memperoleh kuasa mereka merasakan diri mereka itu hebat.

Kebanyakan anak muda sekarang merasa dirinya sahaja yang betul. Apa yang dikatakan oleh orang lain semuanya harus dipangkah dan dicela. Paling menyedihkan lagi, cara mereka membangkang atau memberi pendapat kadang-kadang kucar-kacir, tiada isi dan hanya sekadar membuang masa sahaja. Golongan inilah yang selalunya akan mendampingi bidang politik dan sejurusnya memalukan negara kita.

Hal ini tercetus kerana anak muda sekarang kurang mahupun tidak minat untuk melihat dunia luar. Hendaklah mereka mencari pengalaman bekerja di bawah satu organisasi terlebih dahulu sebelum berpolitik.

Belajar bagaimana caranya apabila bekerja dengan orang lain, di sesebuah syarikat besar mahupun kecil. Mereka harus bekerja dan mencari pendapatan sehingga boleh menguruskan diri dari segi kewangan dan hal ehwal diri sebelum menguruskan hal ehwal orang lain. Tiada guna jika bercita-cita untuk menjadi seorang pemimpin tetapi diri sendiri masih belum stabil.

Malaysia tidak mampu menawarkan 100 peratus peluang pekerjaan kepada individu yang bergelar graduan. Graduan kini hanya mengharapkan kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Mereka ini ditatang bagai minyak yang penuh sehinggakan tiada sikap berdikari dan berdaya saing. Akibat terlalu dimanjakan dan sering mengharapkan pada orang lain, anak muda yang kita kenali sekarang menganggap hidup bergelar graduan ini terlalu tinggi dan eksklusif bagi mereka.

Rezeki ada di mana-mana sahaja. Tiada salahnya jika mereka ingin memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan. Tetapi berapa ramai yang mampu berbuat demikian dengan keadaan ekonomi yang kian merosot? Jika sekadar menabur pelbagai alasan, mengapa ada sesetengah anak muda yang lain mampu untuk mencapai cita-cita mereka untuk berniaga.

Daripada berselindung di sebalik media sosial dan mengutuk pihak tertentu atas kekurangan sendiri, wujudkan sikap inisiatif di dalam diri untuk mengambil segala peluang yang ada. Hanya mereka yang berpendirian teguh serta berdisiplin sahaja yang mampu meneruskan kehidupan mereka dalam bidang perniagaan.

Selebihnya hanya mengharapkan kejayaan itu datang bergolek. Tiada salahnya jika seseorang yang memperoleh segulung ijazah memulakan kerjayanya sebagai seorang kerani. Tetapi berapa ramai yang sanggup menerima pekerjaan yang sedemikian dengan kadar gaji pendapatan yang rendah dan tidak berkedudukan tinggi?

Satu lagi masalah anak muda mereka fikir dengan segulung ijazah mereka mampu memilih sebarang pekerjaan dan posisi yang dikehendaki malah mampu menuntut gaji pendapatan yang tinggi.

Tidak ada cara mudah untuk senang. Semua orang perlu melalui proses yang sama untuk berjaya iaitu belajar bersungguh-sungguh dan bekerja bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang dipilih. Jika enggan, angkatlah sepanduk walau setinggi mana, anda akan tetap menjadi manusia tidak berguna.

Itu hakikat yang para mahasiswa, 'mahasewel', dan semua anak muda perlu terima.

Lihat Komen