malaysiakini logo
story-image
ADS

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said yang telah mengarahkan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia untuk membuat kajian mengenai had usia pemimpin belia di negara ini, agak melucukan.

Menurut Azalina, apabila siap selepas tiga bulan, kajian itu akan dibincangkan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBM). Selapas itu ia dibawa pula ke kabinet dan kemudian ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan sebagai undang-undang.

Adalah amat menggelikan hati hanya untuk menentukan tafsiran belia perlu mengambil masa yang begitu lama dan melibatkan beberapa badan yang juga terlibat dengan tafsiran itu sendiri.

Apakah pengertian belia itu terlalu sukar untuk dikategorikan hingga memerlukan beberapa peringkat untuk membuat keputusan. Dunia mentafsirkan belia itu sebagai golongan yang masih muda dan bukan tua. Umum sudah tentu tahu bahawa seorang lelaki berusia 50 tahun bukannya belia.

Pemimpin belia di negara ini memang sebahagian besarnya bukan dari kalangan dari Majlis Belia Malaysia (MBM), Gerakan Belia 4B, MAYC hinggalah kepada yang seangkatan dengannya. Mereka tidak seharusnya memimpin persatuan belia kerana mereka bukan dari golongan belia.

Mereka tidak faham perasaan belia dan golongan muda. Mereka hanya jadi pemimpin persatuan kerana agenda lain dan tidak sepenuh hati untuk menjayakan gerakan belia. Mereka seharusnya sudah lama di ketepikan.

Kementerian Belia dan Sukan yang bertanggungjawab seharusnya sudah lama menetapkan had umur mengikut lumrah alam dan tafsiran antarabangsa. Kita negara yang bertamadun dan merdeka. Golongan belia biarlah dipimpin oleh golongan belia juga.

Negara sudah berpuluh tahun mendidik golongan muda untuk menjadi pemimpin dari peringkat menengah hingga ke peringkat universiti. Mereka ini memang sudah lama bersedia dan berkemampuan untuk menjadi pemimpin. Jangan jadikan persatuan belia sebagai batu loncatan untuk tujuan lain...


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!