SURAT

Cahaya perjuangan An-Nur akan terus bersinar

25 Nov 2016, 3:26 am

Dikemaskini 4 tahun lepas

A
+
A
-

Selepas lebih empat tahun, adik An-Nur Mohd Affandi, 13 tahun, berjuang melalui kempen gerakan massa Hope2Walk sejak tahun 2012 bagi mendapatkan hak rawatan khusus, sistem sokongan dan hak untuk bersekolah bagi pesakit-pesakit cerebral palsy (CP) (lumpuh otak).

An-Nur akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir pada 12.58 malam tadi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, Selangor.

Adik An-Nur dan kakaknya Annisa Mohd Affandi yang juga pesakit CP menarik minat masyarakat Malaysia yang prihatin mendanai Tabung harapan Annisa dan An-Nur bagi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Erkang, Beijing, China pada 2012.

Bagaimanapun, adik Annisa meninggal dunia beberapa bulan sebelum misi tersebut bermula.

Kisah perjuangan hidup kedua-dua cahaya mata Mohd Affandi Ramli dan isterinya Raja Rohaisham Raja Muhaiddin telah didedikasikan dalam buku Surat Untuk Anak.

Adik An-Nur juga pernah membuat kemunculan di parlimen bersama-sama aktivis Hope2Walk bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di parlimen pada Oktober 2013 menuntut hak untuk bersekolah bagi kanak-kanak yang sakit terlantar.

An-Nur juga pernah membintangi drama dokumentari, Anur Nak Sekolah untuk Freedom Film Fest 2014.

Bagi pihak sukarelawan dan keluarga, kami dengan ini merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan menyumbang kepada kempen ‘Hope2Walk’.

Walau pun adik Annisa dan An-Nur telah tiada tetapi perjuangan untuk kanak-kanak OKU terlantar terutamanya hak untuk bersekolah akan terus dihidupkan.

Kepada arwah Annisa dan An-Nur terima kasih kerana memberikan kesedaran kepada semua rakyat Malaysia bahawa kanak-kanak OKU terlantar mempunyai suara yang sama seperti kanak-kanak normal yang lain dan tidak wajar untuk terus disenyapkan dan dibungkam.

Al-Fatihah...

FAIZAL RIDUAN
Sukarelawan media Hope2Walk

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.