malaysiakini logo
story-image
ADS

Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’raf, ayat179 (bermaksud):

“Kami telah menjadikan untuk isi neraka jahanam, kebanyakan daripada manusia dan jin. Mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk berfikir. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar. Mereka itu seperti haiwan, bahkan lebih hina lagi.”

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 36:

“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan akal fikiran (manusia), semuanya itu akan diminta pertanggungjawapan.”

Universiti Ramadan kembali lagi tahun ini untuk menyediakan pelbagai ganjaran bagi umat Islam yang memanfaatkannya.

Ramadan tiba bukanlah untuk menjamu selera dengan tahap pembaziran maksimum baik dengan pembelian berlebihan juadah di bazar Ramadan yang berakhir di tong sampah ataupun bufet RM200 seorang di hotel hotel mewah.

Bermulanya Ramadan bermakna tempoh pembayaran zakat fitrah telah pun bermula dan boleh dibayar bermula seawal 1 hari bulan terus kepada asnaf yang sepatutnya seperti fakir dan miskin.

Membayar zakat fitrah terus kepada asnaf yang berhak mengikut keutamaan susunan asnaf akan memudahkan persediaan fakir miskin dan keluarga mereka membuat persiapan berbuka dan juga menyambut hari raya.

Solat tarawih bermula sebaik saja selepas Isyak 1 Ramadan 1437H dan berakhir pada malam hari.

Justeru, tidaklah perlu terlebih rajin untuk pergi bertarawih pada malam raya yang biasanya di isi dengan takbir raya.

Malam-malam bulan Ramadan amat hidup sekali terutamanya di Mekah dan Madinah dengan pelbagai ibadah yang berakhir dengan solat Subuh.

Di sana selepas Subuh keadaan Mekah dan Madinah agak lengang kerana penghuninya sedang tidur untuk bangun semula dan mandi bersiap sebelum jam 12 tengah hari untuk bersolat Zohor berjemaah di Masjidil Haram.

Justeru kitaran beribadah di sana amatlah meriah sekali dengan majoritinya amat fokus beribadah dan malam malamnya hidup dengan berbuka puasa, bertarawih, berurus niaga, makan makan serta bertaaruf sesama Islam yang sama-sama turun mengerjakan umrah.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam beberapa potong hadis sahih yang dilapor Imam Bukhari dan Muslim yang inti patinya menyebut umrah Ramadan senilai dengan haji (Bukhari 1782 dan Muslim 1256).

Bersedekah digalakkan sepanjang Ramadan untuk pahala berlipat kali ganda. Namun caranya mestilah betul yakni tanpa rasa riak dan takabur.

Untuk membolehkan semua ibadat dilakukan dengan tenang sepanjang Ramadan memerlukan akal sebagai seorang manusia yang normal.

Manusia yang berakal normal tidak akan membiarkan orang lain memanipulasikan otaknya untuk habuan dunia hingga menzalimi manusia yang lain.

Namun untuk pulangan keduniaan yang sedikit segolongan manusia sanggup menjadi hamba malah berperangai yang tiada bezanya dengan seekor haiwan.

P Ramlee dengan sentuhan klasiknya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok menekankan betapa mudahnya manusia menjadi pak turut kerana sedikit habuan keduniaan.

Ini dirakam dalam babak 40 penyamun menyerbu dan memecahkan sebuah jamban kecil kerana semata mata diarahkan bos.

Akhirnya akibatnya kesemua mereka menerima padah percikan najis manusia kepada badan masing masing.

Begitulah yang telah, sedang, masih dan akan terus berlaku dengan mereka mereka yang bersubahat melindungi penjenayah penjenayah syarikat hutang negara.

Malah P Ramlee dalam filem Tiga Abdul pula telah memberikan pangkat paling besar kepada Ahmad Nisfu dan tuan penasihat yang beriya-iya mengampu dan sanggup melakukan apa saja demi sedikit harta dunia, iaitu “pencacai angkat najis”.

Mereka mereka yang terlibat bersubahat melindungi penjenayah dalam syarikat hutang negara bukanlah masih muda. Malah dah tua tua pun agaknya.

Mereka ingat mereka akan hidup seribu tahun lagi kot dan terus berkira kira merancang hendak terus bersuka-ria sekalipun pada malam malam bulan Ramadan.

Selamat menyambut Awal Ramadan 1437 Hijrah. Semoga Ramadan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya, Insya-Allah.


DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur.

Lihat Komen