Saya mohon merujuk kepada surat tulisan Saif Qistina yang bertajuk Salahkah siswi berpurdah?
Saif Qistina telah memetik sebuah perenggan daripada artikel Zainur Zakaria yang disiarkan di [1993] 3 MLJ xxv yang mengulas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Hajjah Halimatussaadiah binti Kamaruddin v Public Services Commission, Malaysia & Anor [1994] 3 CLJ 532 seperti berikut:
'Surely it cannot be said that the practice of the Plaintiff in wearing the purdah was contrary to public health or morality. The only ground perhaps on which the Plaintiff could be prohibited from wearing the purdah would be on the ground that it was contrary to public order.'
Berpandukan petikan ini, Saif Qistina menyimpulkan bahawa 'Ini bermakna mahkamah melihat pemakaian purdah sebagai mengganggu ketenteraman awam.'
Ini tidak tepat kerana ia telah meninggalkan elemen kemungkinan yang diungkapkan dalam ayat asal dalam bahasa Inggeris melalui perkataan 'perhaps'. Zainur tidak menyatakan dengan tetap dan muktamad bahawa sememangnya mahkamah dalam kes Hjh Halimatussaadiah telah membuat keputusan atas alasan bahawa pemakaian purdah bertentangan dengan ketenteraman awam.
Dalam apa keadaan sekalipun, petikan tersebut ditulis oleh Zainur dalam artikelnya dan merupakan satu pandangan seorang peguam. Pendapat para juris, sungguhpun berpengaruh ('persuasive'), tidak mempunyai kesan mengikat (binding) ke atas keputusan mahkamah.
Oleh itu, mahkamah dalam kes Hjh Halimatussaadiah tidak boleh dikatakan telah membuat keputusan atas alasan yang dikemukakan oleh Saif Qistina itu.
Saif Qistina menyatakan bahawa 'Dalam Islam tidak dilarang perempuan memakai purdah dan tidak pula diwajibkan memakainya'. Atas premis ini jugalah Mahkamah Agung telah memutuskan untuk menolak rayuan Hajjah Halimatussaadiah kerana 'Islam as a religion does not prohibit a Muslim woman from wearing, nor requires her to wear a purdah.
'The wearing of purdah is not an Islamic injunction which must be followed strictly. In the premises, the wearing of purdah has nothing to do with the appellant's constitutional right to profess and practice her Muslim religion'.
Terjemahan ayat tersebut yang diperolehi daripada keputusan Mahkamah Agung tersebut adalah seperti beritkut:
'Islam merupakan agama yang tidak melarang wanita Islam daripada memakai mahu pun menghendakinya memakai purdah. Pemakaian purdah bukannya satu injunksi Islam yang harus diikuti dengan sesungguhnya.
'Dalam keadaan yang sedemikian, pemakaian purdah tidak berkaitan dengan hak-hak perlembagaan perayu untuk mengamal dan menganuti ugama Islamnya.'
