malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Surat
Jerung mengganas terlepas, ikan bilis pula diburu
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) terpanggil untuk memberi reaksi kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan ke atas timbalan setiausaha agung PKR Yahya Sahri, atas pertuduhan berkait derma RM50,000 ke akaun parti pada tahun 2008.

Menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keadilan negara, AMANAH tidak mahu mempertikai keputusan yang telah dibuat mahkamah.

Namun apa yang sangat dikesali adalah pendakwaan terpilih yang berlaku.

Persoalan lebih utama adalah, mengapa isu tersangat besar seperti skandal 1MDB hanya dibiarkan dan langsung tidak dibawa kepada pendakwaan?

Adakah kerana ia dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden Umno, maka ia sedaya upaya cuba disenyapkan?

Inilah hakikat apa yang sedang berlaku di negara kita sekarang ini.

Isu yang melibatkan pembangkang atau seteru politik Umno-BN, maka akan segera dicari jalan untuk didakwa dan dihukum sedangkan jika melibatkan pemimpin mereka maka ia cuba disapu ke bawah lantai.

AMANAH ingin mengingatkan bahawa sikap double standard ini bukan sahaja bercanggah dengan konsep keadilan Islam malah juga bakal meruntuhkan sistem keadilan di dalam negara.

Jerung terus dibiar terlepas dan mengganas manakala bilis diburu hingga ke lubang cacing.


MOHD ANUAR TAHIR setiausaha agung Parti Amanah Negara (AMANAH).

Lihat Komen