malaysiakini logo
story-image
ADS

Program HARAP3.3 di Terengganu telah mengesahkan momentum sokongan rakyat semakin mengukuh terhadap PAS dalam menuju PRU14.

Pendekatan politik matang dan sejahtera PAS semakin memberi mesej berkaitan kesediaan PAS mengambil alih teraju kepimpinan negara.

PAS telah membuka kerjasama dengan pelbagai NGO yang mewakili aspirasi pelbagai kelompok rakyat. Kongres Rakyat menjadi platform yang punya keperkasaan tersendiri.

PAS telah memecahkan tembok beku dan prejudis kepartian dengan seruan persaudaraan kepada anggota Umno untuk menggabungkan diri dengan PAS dalam menjayakan agenda pembaikan negara demi agama, bangsa dan tanah air.

Seruan PAS bahawa ahli Umno adalah saudara seislam kita juga yang perlu diperbaiki hubungan demi maslahah dakwah.

Manakala yang kita tentang dan lawan adalah parti Umno yang membawa dasar perjuangan yang salah dan kini telah mengakarbudayakan segala macam mungkar seperti rasuah, kezaliman, pemborosan sebagai satu kebiasaan yang tidak lagi dipandang salah pada neraca Umno.

PAS melalui kepimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi mesej yang penting di peringkat global tentang kepentingan mengenepikan perbezaan mazhab, puak dalam rangka mempertahan dan mendaulatkan Islam.

Presiden menegaskan ancaman sebenar adalah agenda didalangi zionis, negara barat yang mengkucar-kacirkan umat Islam dengan mengapi apikan perbezaan.

Mereka menyebar kekeliruan di kalangan umat Islam dengan penyebaran fahaman liberal, pluralisme dan feminisme.

Presiden memberi isyarat solidariti di kalangan semua penggerak dakwah Islam bila menyatakan penghargaan kepada daya usaha dan sumbangan jemaah tabligh dalam medan dakwah.

Presiden berkunjung ke gereja, kuil, berbincang dan bermesra dengan pemimpin agama lain tentang soal soal kepentingan bersama dan membina hubungan kerjasama demi rakyat.

Presiden bertemu sendiri dengan masyarakat Cina dan India bagi menyatakan penghargaan dan kepentingan persefahaman masyarakat majmuk dalam membina negara yang sejahtera.

Kesemua langkah matang ini akan berterusan dalam menjayakan agenda rakyat yang memerlukan jalan keluar dari kesulitan yang melanda negara dan rakyat.

PAS tetap dengan prinsip bahawa jalan yang benar adalah dengan panduan tuhan. Bukannya dengan menyanggah suruhan tuhan.


AHMAD AMZAD HASHIM pengarah Jabatan Penerangan PAS.

Lihat Komen